pahangdaily pahangdaily Author
Title: Rafizi Dedah Lapan Hutan Simpan Pekan Di Ceroboh Secara Haram !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
Minggu lepas, saya telah duduk berbincang dengan seorang pemberi maklumat mengenai kerosakan hut...

Minggu lepas, saya telah duduk berbincang dengan seorang pemberi maklumat mengenai kerosakan hutan simpan di Pahang yang beliau minta saya dan Ahli Parlimen Kuantan, Hajjah Fuziah Salleh sama-sama bongkarkan kepada orang ramai demi mengelakkan pelbagai malapetaka yang boleh berlaku akibat kerosakan tersebut.


Beliau telah menunjukkan secara terperinci peta-peta yang diperolehi dari gambar-gambar satelit yang kemudiannya dipadankan dengan peta perhutanan dari Jabatan Perhutanan dan maklumat persempadanan dan pewartaan tanah dari pejabat-pejabat tanah. Hasilnya ialah sebuah peta yang menunjukkan:
1. Sempadan hutan simpan yang diwartakan mengikut setiap daerah di Pahang
2. Keadaan sebenar muka bumi hutan simpan tersebut mengikut jalur warna: merah bermakna pokok telah ditebang dan diterokai sementara hijau bermakna hutan simpan masih dikekalkan
Saya telah menyemak peta-peta ini dengan peta yang diperolehi dari industri pembalakan melalui beberapa orang individu yang saya kenali dan ada asas yang kukuh bahawa peta-peta dari gambar-gambar satelit yang dibekalkan oleh pemberi maklumat ini adalah benar.


Saya telah berbincang dengan YB Fuziah Salleh dan bersetuju bahawa isu pembalakan atau pencerobohan hutan yang berlaku di Pahang perlu dibawa ke pengetahuan umum. Bukan sahaja ia satu aktiviti jenayah yang mencuri harta rakyat, ia mendatangkan kesan kepada alam sekitar yang menyumbang kepada fenomena banjir pada skala besar yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Saya sertakan peta kawasan-kawasan hutan simpan di daerah Pekan yang diwakili oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. Di dalam daerah Pekan, mengikut maklumat dari Jabatan Perhutanan Pahang dan maklumat-maklumat lain, terdapat 8 hutan simpan yang diwartakan seperti berikut:
1. Kedondong
2. Pekan
3. Pekan (Tambahan)
4. Sg. Miang (Paya Laut)
5. Bebar (Paya Laut)
6. Nenasi
7. Resak
8. Resak (Tambahan)
Rujuk kepada peta di atas dari imej satelit, saya telah tandakan kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan-hutan simpan Pekan (Tambahan) dan Kedondong tetapi imej satelit menunjukkan kawasan hutan ini telah diterokai (ditandakan dengan warna merah berbanding hijau yang belum diterokai.
Malah, keadaan yang sama berlaku di kawasan hutan simpan yang lain di Pekan. Maklumat dari kajian pemetaan yang telah diserahkan kepada saya menunjukkan pencerobohan dan penerokaan berlaku di kesemua 8 hutan simpan di daerah Pekan yang melibatkan anggaran keluasaan 4,829 hektar hutan simpan.
Saya menunggu maklum balas peribadi dari Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana ini adalah di dalam Parlimen beliau sendiri dan berlaku di bawah pengawasan beliau.
Saya juga ada maklumat lanjut mengenai perkara yang sama di seluruh negeri Pahang dan akan mendedahkan satu persatu bagi setiap daerah di Pahang sehinggalah ada maklum balas yang kukuh dan tindakan diambil untuk menghentikan pencerobohan ini.
Saya juga akan terus menyiasat untuk menentukan siapakah sebenarnya dalang di belakang kegiatan pencerobohan ini dan meneliti segala kelemahan pengurusan hutan sehingga menyebabkan berleluasanya aktiviti pencerobohan sebegini.
Paling penting, inilah sebenarnya tugas seorang ahli parlimen seperti saya dan Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu menjaga khazanah rakyat. Hakikat bahawa perkara ini berlaku di dalam kawasan parlimen beliau sendiri menimbulkan tanda tanya sama ada beliau mengambil berat perkara-perkara seperti ini. #sumber
* Rafizi merupakan Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Presiden KEADILAN

Advertisement

Post a Comment




 
Top