pahangdaily pahangdaily Author
Title: Isu Rohingya: Malaysia Mungkin Akan Kehilangan 100,000 Pekerja Myanmar
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata sektor pekerjaan negara akan terjejas jika kerajaan Myanmar memangg...
PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata sektor pekerjaan negara akan terjejas jika kerajaan Myanmar memanggil pulang rakyatnya yang bekerja di negara ini susulan ketegangan hubungan dengan Malaysia akibat isu Rohingya.
Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata pendekatan tegas yang digunakan Putrajaya dalam isu penindasan Muslim Rohingya itu turut memberi kesan kepada pekerja Myanmar di negara ini.
Katanya, jika benar pekerja Myanmar dipanggil pulang, majikan perlu mengambil rakyat tempatan bagi menampung kekurangan tenaga kerja dan ini termasuk golongan pesara.
“Ataupun kerajaan perlu meminda undang-undang bagi membolehkan pelarian Rohingya bekerja di negara ini.
“Pada masa ini, difahamkan ada 150,000 pelarian berada di negara ini. Kita boleh sahkan status mereka supaya boleh bekerja di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Myanmar memanggil balik rakyatnya berkemungkinan akan memberi kesan kepada sektor pekerjaan di Malaysia.
Berdasarkan statistik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) 2016, Myanmar merupakan negara keempat tertinggi menyediakan rakyatnya bekerja di negara ini selepas Indonesia, Nepal dan Bangladesh.
Daripada jumlah 1,940,108 pekerja asing melibatkan 13 negara di Malaysia, lebih 141,858 dari Myanmar dengan 71% daripadanya bekerja dalam sektor pembuatan.
“Daripada jumlah itu, 100,349 bekerja dalam sektor perkilangan manakala 18,769 pembinaan, perkhidmatan (15,725), pertanian (5,004), perladangan (1,898) dan baki 113 berkhidmat sebagai pembantu rumah asing,” menurut statistik JTKSM sehingga Jun 2016.
Jangkaan sektor pekerjaan Malaysia akan terjejas itu susulan tindakan Putrajaya mengutuk tindakan kerajaan Myanmar dalam isu penindasan ke atas Muslim Rohingya.
Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang tidak kisah jika Malaysia terputus hubungan dengan Myanmar kerana menganggap isu kemanusiaan perlu diutamakan.
Kenyataan perdana menteri itu dikecam dan susulan itu sekumpulan sami Buddha berhimpun di pusat bandar Yangon sebagai tindakan balas mempertahankan polisi negara itu terhadap etnik Rohingya.
Semalam, Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata Myanmar perlu memandang serius kebimbangan Malaysia terhadap penindasan yang berlaku ke atas Rohingya.
Katanya, negara itu berhutang budi dengan Malaysia dalam isu Asean serta pernah membela penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi ketika pemimpin itu ditolak tentera Myanmar. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top