pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mahkamah 'Tolak Rayuan' Majlis Peguam Terhadap Kes Peguam PI Bala
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan Majlis Peguam terhadap keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara (DB)...
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan Majlis Peguam terhadap keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara (DB) membersihkan Peguam Kanan Tan Sri Cecil Abraham daripada salah laku berkaitan akuan bersumpah (SD) kedua oleh Penyiasat Persendirian P Balasubramaniam.
Peguam Lai Chee Hoe, yang mewakili Majlis Peguam, berkata Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada alasan untuknya mengganggu keputusan DB.
“Tiada kos yang dikenakan oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran kes itu di dalam kamar hakim berkenaan, yang turut dihadiri peguam Rishwant Singh yang mewakili Cecil.
Rishwant yang ditemui pemberita kemudian mengesahkan perkara itu.
Majlis Peguam memfailkan rayuan itu menerusi saman pemula untuk mengetepikan keputusan DB pada 11 Mac, 2016 dengan menamakan Cecil sebagai responden tunggal.
a juga memohon satu perintah bahawa responden bertanggungjawab bagi salah laku mengikut Seksyen 94(3) Akta Profesion Undang-Undang 1976 serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Majlis Peguam mendakwa DB terkhilaf di sisi undang-undang dalam memperakukan dapatan dan cadangan dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin (DC).
DB memperakukan dapatan dan cadangan DC yang mendapati tiada alasan untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap Cecil.
Aduan difailkan terhadap Cecil bagi salah laku atas dakwaan merangka SD kedua Balasubramaniam, yang merupakan saksi pendakwa raya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Pendengaran prosiding tata tertib terhadap Cecil bermula 27 Februari 2014 dan berakhir pada 7 Februari 2015 dengan dapatan serta cadangan DC mendapati tiada alasan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Cecil dan susulan itu DB memperakukan dapatan dan cadangan DC.
Pada 4 Julai 2008, Balasubramaniam menandatangani SD kedua itu bagi menarik balik seluruh isi kandungan dalam SD pertamanya yang mendakwa bahawa beliau dipaksa untuk menandatangani SD pertama dalam keadaan tertekan.
SD pertama itu berkaitan dengan perbicaraan kes bunuh Altantuya di Mahkamah Tinggi Shah Alam. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top