pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mark Ujin: Lori Membawa Muatan Bauksit Haram Bukannya Bidang Kuasa JPJ
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan masih ada lori membawa muatan bauksit...
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan masih ada lori membawa muatan bauksit sepanjang tempoh moratorium aktiviti perlombongan yang berakhir pada 31 Dis ini.
Namun, Pengarahnya Datuk Mark Ujin berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada muatan bauksit itu dibawa secara haram kerana kebenaran itu bukan di bawah bidang kuasa jabatannya.
Pemberian kebenaran dalam bidang kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG), katanya.
“Apabila kita jumpa lori ini, kita serahkan kepada PTG untuk pihak mereka membuat tindakan selanjutnya.
“Istilah lori haram bagi JPJ adalah lori yang tidak ada cukai jalan dan permit.
“Bagi JPJ mana-mana lori membawa apa jenis muatan sekali pun, sekiranya mematuhi peraturan seperti muatan tidak berlebihan dan tidak berbahaya, tiada tindakan daripada pihak kita,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis menyampaikan Sijil Pendaftaran Bengkel Pembaikan Kemalangan Kenderaan Automatif negeri di sini hari ini.
Semalam Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyebut kemungkinan berlaku aktiviti perlombongan haram bahan mineral itu sepanjang pelaksanaan tempoh moratorium berkenaan.
Untuk rekod, kementeriannya mengeluarkan 25 AP khas bagi tujuan mengosongkan “stockpile” bauksit dalam tempoh moratorium yang bermula 15 Januari lepas. #sumber

Advertisement

Post a Comment




 
Top