KUANTAN: Gabungan 12 NGO Islam di sini melancarkan program Solidariti for Rohingya peringkat negeri, bagi mewujudkan kesatuan lebih tersusun dan memantapkan usaha membantu etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar.

Menerusinya, satu resolusi mengutuk penindasan dan kezaliman terhadap kelompok minoriti Islam itu.


Penyelaras Program, Abd Bashir  Abd Ghani (foto) berkata, resolusi itu  turut  menyeru badan-badan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khasnya Kaunsel Keselamatan Antarabangsa, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) supaya melaksanakan tindakan segera.


Menurutnya, tindakan itu bagi menyelamatkan masyarakat Rohingya di Arakan daripada terus ditindas dan dizalimi.


“Kandungannya termasuk desakan menyegerakan tindakan hentikan kekejaman ganas ke atas Muslim Rohingya dan masyarakat awam di Arakan selain beri hak kewarganegaraan kepada etnik itu.


“Kita juga desak agar hentikan penahanan dan pelabelan masyarakat Rohingya sebagai pendatang dan pengganas tanpa bukti yang nyata dan membuka pintu kepada pasukan media antarabangsa membuat liputan di kawasan konflik tanpa sekatan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program Solidariti for Rohingya peringkat negeri, di sini kelmarin.
Abd Bashir berkata, kerajaan Myanmar diminta membenarkan pasukan perubatan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa memasuki zon bencana.


“Kita juga desak ditubuhkan segera Badan Penyiasat Bebas di bawah kawal selia PBB untuk siasat keganasan dan kekejaman dilakukan,” katanya. #sumber