pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pengampunan Penuh Atau Anwar Perlulah "Tunggu" Hingga Usia 78 Tahun
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Peguam yang biasa menguruskan permohonan pengampunan berkata satu-satunya cara Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat kembali ak...
PETALING JAYA: Peguam yang biasa menguruskan permohonan pengampunan berkata satu-satunya cara Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat kembali aktif dalam politik ialah menerusi pengampunan sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana, pengampunan penuh bukan sahaja membebaskan Anwar daripada penjara, tetapi menamatkan larangan ke atasnya kembali aktif berpolitik disebabkan hukuman penjara 5 tahun yang sedang dijalaninya.
Peguam Jagjit Singh juga berkata permohonan itu perlu dibuat secara peribadi oleh bekas ketua pembangkang itu, dan bukan menerusi peguam atau ahli keluarga.
“Ia perlu ditandatangani oleh orang yang terkesan daripada keputusan mahkamah,” kata Jagjit.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Anwar supaya dibenarkan menyemak semula sabitan salah terhadap tuduhan liwat pada Februari tahun lalu.
Anwar, 69, sudah menjalani hukuman penjara selama 22 bulan di Penjara Sungai Buloh. Beliau didakwa meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium di Bukit Damansara pada Jun 2008.
Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu, Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Jagjit yang pernah menguruskan permohonan pengampunan bekas menteri Datuk Mokhtar Hashim, yang didapati bersalah dalam pembunuhan Adun Gemencheh Datuk Mohamad Taha Talib pada 1982, berkata dalam semua kes, anak guamnya secara peribadi menandatangani permohonan pengampunan diraja.
Sebelum ini, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membayangkan akan sekali lagi memohon pengampunan diraja daripada Agong baharu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Tahun lalu, ahli keluarga Anwar membuat permohonan pengampunan bagi pihaknya tetapi ditolak Lembaga Pengampunan.
Seorang lagi peguam, S N Nair bersetuju hanya pengampunan penuh dapat memadamkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar.
Menurutnya, Anwar dilarang bertanding pilihan raya selama 5 tahun lagi selepas dibebaskan pada 2020 nanti.
“Beliau akan berusia 78 tahun ketika itu,” kata Nair.
Peguam Kitson Foong berkata Anwar perlu menunjukkan penyesalannya dalam membuat permohonan pengampunan, tetapi keputusan terakhir bergantung kepada Agong.
Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong turut dianggotai Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top