pahangdaily pahangdaily Author
Title: Penganalisis: "Isu Kewangan" FGV Tidak Jejas Undi Felda Kepada BN
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis politik menolak andaian Umno dan Barisan Nasional (BN) akan hilang sokongan peneroka Felda disebabka...
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis politik menolak andaian Umno dan Barisan Nasional (BN) akan hilang sokongan peneroka Felda disebabkan keadaan kewangan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang semakin teruk.
Prof Madya Awang Azman Awang Pawi (foto) dari Universiti Malaya berkata, isu kewangan korporat hanya mempunyai sedikit tarikan buat pengundi luar bandar.
“Mereka yang kurang berpengetahuan dalam hal ekonomi tidak akan merasakan prestasi kewangan FGV memberi kesan kepada mereka.
“Jika kita lihat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin, isu Felda tidak menjejaskan pembangkang walaupun ia banyak dimainkan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang masalah FGV mungkin menyebabkan Umno kehilangan undi di kawasan Felda.
Awang Azman berkata, pengundi Felda lebih prihatin dengan isu seperti perumahan untuk peneroka generasi kedua, kelewatan bayaran tandan kelapa sawit dan kos sara hidup.
“Jika BN mahu mengekalkan sokongan peneroka Felda, kerajaan perlu mengambil langkah drastik dan strategik dengan segera untuk menangani isu ini,” katanya.
Pendapat sama disuarakan Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak yang mengetuai Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara.
“Bagi peneroka, kebimbangan utama mereka ialah kos komoditi dan isu kehidupan harian,” katanya.
“Tidak ramai yang bimbang dengan prestasi FGV, kecuali mereka yang mungkin lebih cenderung kepada ekonomi.”
Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan semalam menyalahkan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad untuk masalah dihadapi gergasi sektor perladangan negara itu.
Beliau berkata, kerugian FGV bukan sahaja disebabkan harga minyak sawit yang rendah, tetapi juga kelemahan pengurusan.
Pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia itu mencatat pulangan rendah untuk beberapa tahun ini.
FGV dilaporkan adalah saham perladangan yang mempunyai prestasi paling teruk susulan tawaran awam permulaan (IPO) pada Julai 2012.
Kemerosotan harga sahamnya begitu buruk sehingga menyebabkan Bursa Malaysia mengeluarkannya daripada Indeks BSKL, tahun lalu.
FGV mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012 dengan harga RM4.45 sesaham. Namun, nilai sahamnya merosot ke tahap paling teruk pada RM1.68 seunit, Jumaat lalu, penurunan sebanyak 62.5%. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top