pahangdaily pahangdaily Author
Title: Rafizi Yakin Kos Pembinaan Projek MRT Boleh Cecah "RM100 Bilion" !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli tetap dengan dakwaannya yang kos MRT boleh mencec...
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli tetap dengan dakwaannya yang kos MRT boleh mencecah RM100 bilion, sambil menambah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mengesahkan kebimbangan beliau.
Dalam satu kenyataan, Rafizi merujuk kepada kenyataan Najib semasa pelancaran Fasa 1 laluan MRT dari Sungai Buloh ke Kajang pada Khamis. Najib berkata RM2 bilion diselamatkan daripada kos RM21 bilion.
Rafizi berkata orang ramai gagal memahami RM21 bilion itu adalah hanya untuk Fasa 1 MRT, yang meliputi 21km dan 12 stesen.
Penulis blog pro-Umno menyerang beliau terhadap dakwaannya yang kos pembinaan MRT akan mencecah sehingga RM100 bilion.
“Adalah jelas mereka tidak memahami butiran projek 141km MRT, yang pertama kali diumumkan Najib pada 2010,” jawab Rafizi.
Beliau berkata kerajaan dalam laporan sebelum ini menyatakan keseluruhan kos projek sekitar RM40 bilion dan dipersetujui oleh Najib di Dewan Negara ketika mengumumkan Bajet 2011.
“Jumlah RM21 bilion yang diumumkan Najib hanya untuk 21km daripada 141km atau 15% daripada jumlah projek itu.”
Beliau berkata pengiraan mudah berdasarkan kos Fasa 1 per km bermakna setiap kilometer akan menelan kos RM1 bilion.
Ini bermakna jika kos RM21 bilion untuk 21km, 120km baki akan menelan kos RM120 bilion.
Tambahnya, kenyataan Najib yang RM2 bilion berjaya dijimatkan tidak menghilangkan kebimbangan yang projek MRT itu akan mencecah harga RM100 bilion.
“Dalam kenyataan akhbar akan datang, saya akan menunjukkan kos keseluruhan projek MRT yang terdiri daripada 3 laluan termasuk bawah tanah – pasti akan menelan kos melebihi RM100 bilion,” katanya berjanji.
Fasa ke-2 laluan MRT dari Sungai Buloh ke Kajang akan meliputi jarak sejauh 51km dengan 31 stesen. #sumber

Advertisement

Post a Comment




 
Top