pahangdaily pahangdaily Author
Title: AMANAH Gesa 'Tangkap Pesalah', Bukannya Pelindung Alam Sekitar
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Mereka yang cuba melindungi khazanah negara daripada pembalakan berleluasa harus diraikan, bukan ditangkap dan diganggu p...
PETALING JAYA: Mereka yang cuba melindungi khazanah negara daripada pembalakan berleluasa harus diraikan, bukan ditangkap dan diganggu pihak berkuasa yang membenarkan alam sekitar dicabul, kata Amanah.
Sambil mengecam penahanan aktivis yang mengkritik kerajaan, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata itulah yang menyebabkan orang asing menganggap Malaysia negara dunia ketiga.
“Kita sudah biasa kedengaran ahli politik pembangkang ditahan dan direman atas alasan yang remeh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Akhir ini pihak berkuasa meluaskan sasaran mereka meliputi aktivis, tokoh NGO, siswa, personaliti dan juga pelukis kartun.
“Apa yang sudah berlaku pada negara yang kita cintai ini?”
Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah itu merujuk kepada tindakan yang dikenakan terhadap golongan yang cuba memelihara alam sekitar dengan menonjolkan kemusnahan akibat aktiviti pembalakan.
Ini termasuklah kesusahan yang dialami Orang Asli suku Temiar di Gua Musang, yang menyaksikan Orang Asli ditangkap kerana mendirikan halangan bagi menghalang pembalak yang dibenarkan kerajaan Kelantan memasuki tanah adat mereka.
“Kami semua terkejut dengan tahap kemusnahan ketika banjir di Kelantan 2 tahun lalu,” kata Raja Bahrin.
“Barangkali bantahan Orang Asli hari ini ada kaitan dengan betapa besarnya banjir yang dialami Kelantan ketika itu.
“Tetapi rungutan mereka tidak didengari dan pengalaman mereka tidak diambil sebagai pengajaran. Orang Asli ditangkap dan dituduh menghalang aktiviti perniagaan kontraktor balak yang diluluskan kerajaan.”
Beliau turut mengkritik penahanan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil dan pengurus Norhayati Shahrom.
Mereka ditangkap pada Khamis lepas selepas didakwa menghina Sultan Johor melalui catatan Facebook yang menonjolkan aktiviti pembalakan di tanah yang dipercayai milik Sultan.
Mereka disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sekiranya didapati bersalah, mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000, atau sehingga 1 tahun penjara, atau kedua-duanya.
“Isu yang dibangkitkan oleh Orang Asli, Siti Kasim dan Shariffa Sabrina itu isu rakyat dan alam sekitar,” kata Raja Bahrin.
“Mereka yang meluluskan lesen, kelemahan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang pemeliharaan alam sekitar dan pembalak yang menyimpang harus disiasat, tetapi yang melapor pula ditangkap dan diganggu.”
Katanya tindakan itu menunjukkan pihak berkuasa dan pihak kerajaan negeri dan persekutuan berusaha untuk menutup suara “rakyat yang menderita” walaupun mereka bertanggungjawab untuk alam sekitar.
“Ketika ini mereka nampaknya berpuas hati menjadi pelaksana arahan ketua mereka sementara hutan kita terus diperkosa dan dirampas.
“Apakah kita sudah lali dengan korupsi yang berleluasa di sekeliling kita hari ini hinggakan kita menerimanya sebagai ‘budaya Malaysia’ dan cara mentadbir negara?
“Rakyat hari ini menuntut keadilan sosial dan penegakan hukum untuk semua, bukan hanya untuk golongan kaya dan berkuasa,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top