pahangdaily pahangdaily Author
Title: 'Sevil Shhaideh' Bakal Menjadi PM Wanita Islam Pertama Di Eropah !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Romania bakal membuat kejutan apabila melantik pemimpin wanita beragama Islam pertama sebagai P erdana Menterinya. Menu...
KUALA LUMPUR: Romania bakal membuat kejutan apabila melantik pemimpin wanita beragama Islam pertama sebagai Perdana Menterinya.
Menurut New York Times, Parti Sosial Demokratik (PSD) yang memang besar dalam pilihan raya umum 11 Disember lalu mencalonkan Sevil Shhaideh, 52, yang berasal daripada etnik minoriti Tatar, sebagai Perdana Menteri, Rabu lalu.
Menurut kebiasaan, pemimpin parti yang memenangi pilihan raya akan dilantik menjadi Perdana Menteri, namun ketua PSD Liviu Dragnea digantung daripada memegang jawatan selama dua  tahun kerana disabit dalam penipuan pilihan raya.
Shhaideh dikatakan rapat dengan Dragnea, dan pernah menjadi setiausaha di Kementerian Pembangunan Wilayah ketika Dragnea memegang portfolio itu, dan dilantik menjadi menteri sama pada 2015.
Penganalisis politik Universiti Babes-Bolyai Sergiu Miscoiu menyifatkan pelantikan itu mengejutkan kerana walaupun umum merasakan perdana menteri baharu akan dikawal Dragnea, mereka tidak menjangka jawatan itu akan dipenuhi seorang yang masih baru dan bukan daripada pimpinan tinggi PSD.
“Pelantikan Shhaideh membayangkan Dragnea akan mengawal kerajaan tanpa menggalas tanggungjawab secara langsung. Beliau tidak terpalit (dakwaan salah laku), maka (Presiden Romania) Klaus Iohannis tiada sebab rasmi untuk menolaknya,” katanya.
Beliau juga berkata langkah itu mungkin bertujuan membalas tuduhan yang PSD menggunakan nasionalisme sebagai senjata kempen pada pilihan raya lalu.
Penganalisis Pusat Dasar Eropah, Paul Ivan menyifatkan Shhaideh lebih seperti “Pengurus” berbanding ahli politik biasa.
“Beliau adalah ahli ekonomi yang mempunyai pengalaman lama dalam pentadbiran tempatan dan wilayah,” katanya.
Beliau berkata pelantikan seorang minoriti sebagai Perdana Menteri pasti mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pengundi, namun yakin agama Shhaideh tidak akan membuatkannya asing di kalangan masyarakat.
“Masyarakat Islam di Romania mengamalkan agama secara sederhana. Mereka sudah hidup di negara bukan Islam selama lebih 100 tahun, dan pernah melalui era regim sosialis,” katanya.
Bagaimanapun, pelantikan itu dijangka tidak akan mengubah dasar tegas Romania terhadap isu pelarian, malah agama Shhaideh mungkin menghalangnya daripada mengambil tindakan drastik.
“Beliau akan senang dikritik dan orang akan kata ‘tentulah anda berkata demikian, anda seorang Islam’. Pasukannya mungkin akan menasihatinya agar tidak terlibat dalam isu seumpama itu,” kata penganalisis Radu Magdin.
Sejumlah 80% warga Romania menganut Kristian Ortodoks, manakala yang beragama Islam kurang 1%. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top