pahangdaily pahangdaily Author
Title: Tuan Ibrahim: Kerugian Felda, Isa Samad Kena Bertanggung Jawab !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Isa Samad perlu bertanggungjawab atas kerugian yang dialami...
PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Isa Samad perlu bertanggungjawab atas kerugian yang dialami dan bukan hanya mengambil tindakan terhadap individu terlibat, kata Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu berkata sejak pelancaran Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) pada 2012 di Bursa Malaysia pada harga RM4.45 sesaham, nilai saham FGV terus merosot ke tahap paling teruk pada RM1.68 seunit, Jumaat lalu.
“Hakikatnya, saham FGV boleh dikategorikan sebagai saham yang berprestasi terburuk dalam sektor pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata masalah FGV berpunca daripada kelemahan pengurusan dan juga harga minyak sawit yang rendah.
“Sukar bagi peneroka Felda biasa memahami bagaimana penyelewengan boleh berlaku di Felda Iffco Gida Sanayi, iaitu anak syarikat yang dimiliki 50% saham oleh FGV di Turki, mengalami kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.
“Penyelewengan itu menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September melebar daripada RM33.9 juta tahun lalu kepada RM94.86 juta tahun ini,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata ketika perkara itu didedahkan, jumlah kerugian saham luar biasa itu akan tertakluk kepada hasil audit forensik.
“Apakah perkembangan audit forensik setakat ini? Apakah ada pihak atasan FGV dan Felda yang akan bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Audit Negara juga mendedahkan 64 kontrak untuk perolehan “light detection and ranging” (LiDAR) bernilai RM148.42 juta ditandatangani tanpa kebenaran yang sah.
“Projek jalur lebar serta 3 projek lain juga dilaporkan mengalami kerugian kerana kelemahan perlaksanaan dan pemantauan,” katanya.
Beliau berkata prestasi Isa sejak menjawat jawatan presiden amat tidak meyakinkan peneroka.
“Felda bukan saja berdepan penyelewengan di bawah pentadbiran Isa, ia juga mengalami pengurangan hasil akibat profil usia pokok sawit tua, kegagalan merancang penanaman semula yang berkesan dan kelemahan pemantauan terhadap prestasi anak syarikat.
“Walaupun Isa berkata tindakan sudah diambil terhadap Laporan Ketua Audit Negara siri 2 sebelum ini, namun hakikatnya peneroka tidak tahu bila FGV akan kembali membawa keuntungan kepada mereka,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top