pahangdaily pahangdaily Author
Title: Zahid Hamidi: Usah Takut, RUU 355 Tidak Sentuh Rakyat Bukan Islam
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan semua ahli Parlimen...
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan semua ahli Parlimen bukan Islam bagi memberi penjelasan berhubung rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.
Timbalan perdana menteri itu berkata, penjelasan itu akan diberikan menerusi Jawatankuasa Pemilihan yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.
Ketua whip Barisan Nasional (BN) itu yang dipetik Bernama berkata, penjelasan turut akan diberikan kepada masyarakat bukan Islam agar kekeliruan dapat diperbetulkan.
“Usahlah risau, usahlah takut. RUU 355 tidak sama sekali menyentuh kepentingan dan kedudukan anda semua.
“Bagi ahli Parlimen pembangkang yang beragama Islam, yang tegar memulau usaha murni ini, biarlah mereka dengan dunia mereka,” katanya dalam teks ucapannya yang diedarkan kepada media bagi menjelaskan RUU 355 selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2016 semalam.
Menteri dalam negeri itu turut memberi jaminan RUU 355 tidak akan dijadikan pintu belakang ke arah menguatkuasakan hudud sebagaimana didakwa DAP.
“RUU 355 bukanlah hudud sebagaimana didakwa. Ramai sahabat saya yang bukan Islam bimbang RUU 355 akan memberi kesan secara tidak langsung kepada mereka,” kata naib presiden Umno itu yang turut menggalas tugas timbalan presiden parti itu.
Beliau berkata, RUU 355 tidak terpakai sama sekali kepada orang bukan Islam dan mereka tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam.
Zahid menyifatkan DAP sebagai parti yang berjaya menipu orang bukan Melayu, selain mengamalkan seni politik bermuka-muka yang mengelirukan banyak pihak.
Sehubungan itu, beliau meminta parti komponen BN tidak lagi terpengaruh dengan skrip pembangkang seperti DAP yang akan menolak apa sahaja perkara baik cuba dilakukan orang Melayu, walaupun untuk kebaikan bersama.
Katanya, semua parti komponen BN perlu memainkan peranan lebih positif membantu masyarakat Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan dan kaum lain untuk menyedarkan mereka daripada terus ditipu petualang, DAP.
Pada 22 November lalu, satu perjumpaan dan taklimat khas yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diadakan selama sejam di Parlimen bagi menjelaskan RUU 355 kepada ahli Parlimen BN dan pembangkang, susulan pelbagai tafsiran terhadap usul itu.
Pada 24 November lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ke sidang yang dijadualkan pada Mac 2017 untuk menerangkan pindaan terhadap RUU itu secara terperinci.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini. #sumber

Advertisement

Post a Comment




 
Top