pahangdaily pahangdaily Author
Title: Guna "Telefon Bimbit" Sambil Memandu Antara Punca Utama Nahas
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Menggunakan telefon bimbit ketika memandu adalah satu daripada 6 punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia, kata polis...
KUALA LUMPUR: Menggunakan telefon bimbit ketika memandu adalah satu daripada 6 punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia, kata polis.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus (foto) berkata, 6 punca utama itu adalah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar.
Beliau mengulas video viral baru-baru ini mengenai seorang pemandu bas ekspres dirakam menggunakan telefon bimbit dan merokok ketika memandu di Plaza Tol Tangkak, Johor dari Kuala Lumpur.
Mahamad berkata, penggunaan telefon bimbit ketika memandu bukan sahaja sangat tidak bertanggungjawab, tetapi berbahaya.
“Sekadar membaca mesej ketika memandu di mana mata anda beralih dari jalan raya walaupun hanya beberapa saat boleh membawa kepada kemalangan maut,” katanya.
Beliau berkata, banyak kemalangan maut berpunca daripada penggunaan telefon bimbit ketika memandu, namun tiada angka tepat buat masa ini kerana tumpuan siasatan ke atas kemalangan adalah sama ada pemandu cuai dan tidak bertimbang rasa seperti termaktub di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pakar keselamatan jalan raya, Karen Goonting berkata, pemandu kenderaan tidak memahami bahaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Memetik satu kajian Amerika pada 2009, beliau berkata, seorang pemandu yang menaip atau membaca mesej teks ketika memandu adalah 23 kali lebih berkemungkinan menyebabkan atau terbabit dalam kemalangan.
Kajian bertajuk “100 kajian kereta” itu dijalankan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Nasional Amerika Syarikat, Majlis Penyelidikan Pengangkutan Virginia dan Virginia Tech.
Katanya, pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu lebih cenderung melakukan kesalahan berbanding mereka yang bercakap dengan penumpang atau mendengar muzik.
“Mereka lebih cenderung terkeluar daripada lorong, terlepas jalan, melanggar lampu isyarat merah, melanggar kenderaan di hadapan mereka dan juga pejalan kaki.
“Malah, perbuatan membaca atau menghantar SMS dan beralih pandangan daripada jalan untuk setiap 2 saat ketika memandu 88km sejam umpama memandu dengan mata ditutup di sebuah padang bola.” #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top