pahangdaily pahangdaily Author
Title: Bayaran Fi "Pemuliharaan" Taman Laut Tioman Naik Lima Kali Ganda
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
ROMPIN: Bayaran fi Pemuliharaan Taman Laut yang dikenakan ke atas setiap pelancong asing yang masuk ke kawasan taman laut di seluruh ne...

ROMPIN: Bayaran fi Pemuliharaan Taman Laut yang dikenakan ke atas setiap pelancong asing yang masuk ke kawasan taman laut di seluruh negara termasuk Pulau Tioman naik bermula 1 Januari lalu.

Ia menyaksikan kenaikan sebanyak lima kali ganda masing-masing bagi pelancong dewasa, kanak-kanak dan warga emas namun bagi orang kurang upaya (OKU) masih kekal percuma.

Bagi semua kategori itu, fi yang dikenakan terhadap pelancong tempatan pula adalah kekal iaitu dewasa RM5, kanak-kanak dan warga emas RM2 manakala OKU pula percuma.

Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang, Mohd Fazli Long, berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada pihak atasan pada tahun lalu supaya melaksanakan kutipan fi baharu itu.

Menurutnya, ia bertujuan menampung kos operasi taman laut yang semakin meningkat dan ia juga tidak pernah naik sejak 2003.

"Fi baharu bagi pelancong asing kini bagi dewasa RM30, kanak-kanak dan warga emas RM15 manakala OKU kekal percuma.

"Hasil kutipan fi ini akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Taman Laut dan Rezab Laut untuk digunakan sebagai dana bagi menguruskan serta menambah baik taman laut," katanya.

Beliau turut memberitahu, caj baharu turut dikenakan ke atas beberapa aktiviti yang dilakukan pelancong asing atau tempatan dalam kawasan taman laut seperti permit berkhemah di Pusat Taman Laut sebanyak RM10 bagi satu tapak khemah.

Selain itu, menurutnya, permit kajian turut dikenakan sebanyak RM200 dengan deposit RM500, permit penggambaran komersial atau dokumentari sebanyak RM100 sehari, operator selam scuba dikenakan sebanyak RM150 dan kapal layar sebanyak RM100 sehari.

"Sambutan bagi fi baharu oleh pihak-pihak yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti itu ada yang setuju dan ada yang membantah namun kita akan buat perjumpaan bagi sesi penerangan, kita harap pelaksanaannya berjalan lancar," katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top