pahangdaily pahangdaily Author
Title: Polis Keluar Lebih 46,000 Saman 'Guna Telefon' Ketika Memandu
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan lebih 46,000 saman kepada pemandu atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu pada 2016, ...
KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan lebih 46,000 saman kepada pemandu atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu pada 2016, peningkatan hampir 4,000 saman berbanding 2015.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus berkata, sejak beberapa tahun lalu, polis mengeluarkan puluhan ribu saman untuk kesalahan itu dengan kadar kompaun RM300.
Pada 2013, sebanyak 30,825 saman dikeluarkan kepada pemandu kerana menggunakan telefon bimbit sambil memandu, angka itu meningkat kepada 44,004 saman pada 2014 dan berkurangan kepada 42,641 saman pada 2015.
Bagaimanapun, ia meningkat kepada 46,289 saman setakat 27 Disember lalu.
“Orang selalu kata polis tidak menguatkuasakan undang-undang secukupnya. Lihat jumlah saman yang kami keluarkan hanya untuk kesalahan ini. Tidak adil untuk kata kurang penguatkuasaan.
“Orang ramai tidak boleh mengharapkan kami untuk meletakkan seorang pegawai polis di setiap km lebuh raya. Masalah itu berpunca daripada kekurangan disiplin (di kalangan pengguna jalan raya),” katanya.
Mahamad berkata, masalah itu bertambah teruk sejak beberapa tahun ini, khasnya dengan kemunculan aplikasi mesej seperti WhatsApp dan media sosial.
“Ramai pengguna jalan raya sentiasa menggunakan telefon mereka ketika memandu, apabila berlaku kesesakan lalu lintas mereka lihat telefon mereka, apabila sampai ke lampu isyarat mereka tengok telefon mereka. Malah, penunggang motosikal turut menggunakan telefon ketika menunggang.”
Beliau berkata, pengguna jalan raya perlu beringat di bawah undang-undang, kesalahan lalu lintas di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan dikategorikan sebagai undang-undang liabiliti ketat, yang bermakna terpulang kepada pemandu untuk membuktikan mereka tidak bersalah di mahkamah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya yang ditangkap menggunakan telefon bimbit ketika memandu supaya tidak cuba mencari jalan mengelak daripada disaman dengan menyembunyikan telefon bimbit mereka.
“Saya menasihatkan pengguna jalan raya menjauhkan tangan mereka daripada telefon ketika memandu. Ia adalah satu kesalahan walaupun sekadar memegang telefon, tidak kira ketika anda terperangkap dalam kesesakan (lalu lintas) atau (menunggu) lampu isyarat.
“Anda tidak sepatutnya berhenti di lorong kecemasan untuk menghantar teks atau bercakap di telefon. Hanya guna peranti bebas tangan atau bluetooth jika anda benar-benar perlu.”
Baru-baru ini, video seorang pemandu bas ekspres menggunakan telefon bimbitnya dan merokok ketika memandu ke Plaza Tol Tangkak di Johor dari Kuala Lumpur menjadi viral.
Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top