pahangdaily pahangdaily Author
Title: Serah Diri Atau Kami Akan Tahan, Amaran Polis Kepada 'Juruletup' !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
SHAH ALAM: Juruletup bunga api dan tiga pembantunya diberi tempoh sehingga esok untuk tampil bagi membantu siasatan insiden bunga api m...
SHAH ALAM: Juruletup bunga api dan tiga pembantunya diberi tempoh sehingga esok untuk tampil bagi membantu siasatan insiden bunga api meletup sehingga mencederakan 16 individu semasa sambutan ambang Tahun Baharu 2017 di padang Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya akan melancarkan gerakan mengesan 4 lelaki tempatan itu sekiranya mereka gagal berbuat demikian.
“Kita sudah kenal pasti juruletup tidak bertauliah serta tiga pembantunya yang berusia lewat 30-an dan 40-an ini.
“Kita harap mereka akan tampil secara sukarela bagi membantu siasatan…sekiranya gagal, kita tiada pilihan selain memburu dan menahan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Pengurusan IPK Selangor antara Datuk Abd Razak Elias dengan Che Man Md Deros.
Abd Razak dilantik sebagai timbalan pengarah III Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman selepas hampir 11 tahun memegang jawatan sebagai ketua Jabatan Pengurusan IPK Selangor, sementara Che Man sebelum ini bertugas sebagai ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPK Negeri Sembilan.
Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, 12 orang dewasa dan 4 kanak-kanak cedera apabila bunga api yang dipasang bagi meraikan ketibaan tahun baharu 2017 meletup dan menuju ke arah penonton.
Pertunjukan bunga api itu adalah acara kemuncak bagi Fiesta Gegar Klang 2016 anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dari 30 Disember hingga 1 Januari lalu.
Abdul Samah berkata, sehingga kini, 21 individu termasuk Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin serta mangsa dirakam percakapan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Kita sudah tubuh satu pasukan khas untuk siasat kes ini dengan cepat dan supaya ia dapat diberi keutamaan. Kita sedang jalankan siasatan dengan teliti dari semua sudut dan kita cuba lengkapkan siasatan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengesahkan pertunjukan bunga api itu dilakukan tanpa permit, malah tiada permohonan untuk mendapatkan permit dibuat penganjur.
Jelas Abdul Samah, di bawah peruntukan undang-undang, mana-mana pihak yang ingin mengadakan pertunjukan bunga api harus terlebih dahulu membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Sebelum polis keluarkan permit atau lesen, penganjur mesti dapatkan kelulusan dasar daripada KDN. Kita (Polis) hanya akan pertimbangkan permohonan selepas penganjur dapat kelulusan dasar. Kita akan tetapkan bahan letupan yang sesuai dan boleh digunakan, jangka masa bunga api nak dibakar…semua itu akan ditetapkan dalam permit.
“Paling penting kita tetapkan penganjur dapatkan khidmat juruletup bertauliah atau berlesen untuk kendalikan bunga api itu. Juruletup bertauliah ini perlu ada lesen daripada pihak polis dan pihak geosains…bukan semua orang boleh kendalikan bahan letupan bunga api,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top