pahangdaily pahangdaily Author
Title: Azmin "Enggan Dedahkan" Nama Menteri Kerana Bimbang Di Ugut BN
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
SUBANG JAYA: Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau tidak boleh mendedahkan nama menteri kanan yan...
SUBANG JAYA: Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau tidak boleh mendedahkan nama menteri kanan yang didakwa meletak jawatan kerana menghormati perbincangan sulit antara mereka.
Menteri Besar Selangor itu berkata jika nama menteri terbabit didedahkan, maka individu terbabit juga akan berdepan ugutan dan tekanan.
“Saya faham selok-belok politik diamalkan Barisan Nasional (BN). Saya tidak akan menamakan pemimpin itu bagi menghormati perbincangan sulit antara saya dan individu berkenaan.
“Jika nama ini didedahkan, kerajaan menjalankan sistem yang akan mengugut, menekan individu berkenaan. Jadi, saya tidak akan menamakan bagi menghormatinya,” katanya ketika ditemui pemberita, di Hotel Empire Subang, hari ini.
Azmin semalam menerusi akaun Twitternya berkata ada menteri kanan yang meletak jawatan kerana enggan bersubahat dalam skandal 1MDB.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudian menafikan kenyataan Azmin, malah mencabar timbalan presiden PKR itu menamakan menteri berkenaan.
Azmin ketika diasak soalan wartawan hanya berkata beliau mendengar sendiri luahan hati menteri kanan itu namun enggan memberitahu butirannya.
Malah, Azmin juga tidak memberi sebarang reaksi ketika ditanya sama ada menteri yang dimaksudkan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, atau tidak.
“Bertemu (antara Azmin dan menteri kanan). Bila mata bertemu, jatuh ke hati. Dia dari Malaysia, menteri ini menteri Malaysia, jaga salah satu portfolio yang diputuskan perdana menteri,” katanya.
Azmin pada masa sama turut mengingatkan Najib supaya tidak terlalu cepat melatah memandangkan beliau tidak menuduh sebaliknya hanya bertanya.
“Sebagai perdana menteri, beliau kena yakin dan tidak perlu melatah tentang hal itu, kerana ia hanya soalan. Mengapa melatah?
“Saya tidak kata hendak dedah. Salah ke saya tanya soalan itu, sekarang ini tanya soalan pun tidak boleh,” katanya.
Setakat ini, beberapa menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan perkara berkenaan.
Sementara itu, Azmin memberitahu ibunya kini dalam keadaan koma kerana diserang penyakit strok.
“Hari ini sekitar jam 12 tengah hari beliau diserang strok kali kedua dan ia kini lebih serius. Dia (ibu) di hospital KPJ Damansara.
“Doktor bertemu dengan keluarga petang ini dan menyatakan keadaan kritikal dan saya minta doakan moga Allah permudahkan,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment




 
Top