pahangdaily pahangdaily Author
Title: Walau Pun "Bertongkat", Tengku Abdullah Tetap Ziarah Anak Staff Baginda Di KMC
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Orang ramai yang berada di Kuantan Medical Centre (KMC) dekat sini teruja dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemang...

KUANTAN: Orang ramai yang berada di Kuantan Medical Centre (KMC) dekat sini teruja dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah  petang tadi.



Apatah lagi keberangkatan tiba baginda langsung tidak dimaklumkan dan tidak diketahui kerana ia bukanlah acara rasmi seperti kebiasaan. Difahamkan, makluman tentang kehadiran baginda dibuat beberapa jam sebelum itu. Lebih mengejutkan, baginda kelihatan "bertongkat" ketika melangkah masuk ke banguna KMC. 



Kehadiran Tengku Abdullah sebenarnya adalah untuk menziarahi anak kepada salah seorang kakitangan baginda yang sedang menerima rawatan kanser payu dara di pusat perubatan terbabit.

Menurut bapa pesakit, Haji Abdul Rahim Othman (RBO) anaknya Nadiah Shafiqah,29, baru saja menjalani pembedahan petang semalam. "Saya tidak menyangka majikan saya (Pemangku Raja Pahang) berkenan bercemar dulu untuk singgah menziarahi anak saya hari ini. Tambahan pula baginda begitu sibuk dan jadualnya petang ini ialah untuk ke Kuala Lumpur. Saya teruja bila dimaklumkan baginda akan berangkat ke mari sebelum bertolak", katanya. 



Tengku Abdullah mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menziarahi Nadiah Shafiqah. Baginda diberi penerangan oleh doktor bertugas, dan bertanya khabar ahli keluarga Abdul Rahim. Baginda berangkat meninggalkan KMC sekitar jam 3.00 petang.



Ahli keluarga dan kakitangan KMC tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan baginda. Ramai yang tidak menyangka Tengku Abdullah datang ke pusat perubatan terbabit dalam keadaan yang begitu "simple". 




"Saya terkejut melihat baginda kelihatan bertongkat ketika masuk ke lobi KMC, tapi baginda sanggup datang menziarahi anak buahnya. Tambahan pula kami turut menerima kehadiran Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj semalam. Dalam masa dua hari, kami dikunjungi secara tidak rasmi oleh keluarga diraja.. Ini satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan", kata salah seorang kakitangan KMC yang ditemui.



Difahamkan, Tengku Puan Pahang juga turut menziarahi Nadiah Shafiqah semalam. Sementara itu, menurut Abdul Rahim anaknya hanya menyedari dia mengidap barah selepas mendapati ada bonjolan keras dibahagian atas  payu dara. 


"Mujurlah dia terfikir untuk membuat pemeriksaan dan akhirnya disahkan mengidap kanser payu dara stage tiga. Kehadiran Pemangku Raja Pahang hari ini, memberikan semangat kepada beliau untuk melawan penyakit yang dihidapinya. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada baginda tuanku dan Tengku Puan atas kesudian menziarahi anak saya", kata Abdul Rahim.

Sesungguhnya keprihatinan Tengku Abdullah untuk meluangkan masa menziarahi anak kepada kakitangan baginda amatlah dihargai. Ia menjadi tamparan hebat kepada mana-mana pemimpin dan pembesar negeri selepas ini. Semua pihak sewajarnya menunjukkan kasih sayang kepada mana-mana kakitangan mereka. Contohilah apa yang dilakukan oleh keluarga diraja Pahang ini. Raja dan rakyat berpisah tiada. Daulat Tuanku. #pahangdaily

Advertisement

 
Top