pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kes "Jong Nam": Keluarga Hairan, Bagaimana Siti Aishah Di Malaysia
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
SERANG: Keluarga Siti Aishah, suspek wanita dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, hairan bagaimana anak bongsu ...
SERANG: Keluarga Siti Aishah, suspek wanita dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, hairan bagaimana anak bongsu mereka boleh berada di Malaysia.
Malah, setahu mereka, wanita berusia 25 tahun itu hanya bekerja sebagai jurujual pakaian di Batam.
Ayah wanita itu, Asria Nur Hasan, 56, berkata seluruh keluarganya masih kebingungan dan tidak tahu berbuat apa-apa kecuali menangis bagaimana Siti Aishah boleh merantau ke Malaysia tanpa pengetahuan keluarga.
Katanya, anaknya berhijrah ke Batam untuk bekerja sebagai jurujual pada 2012, selepas bercerai dengan suaminya, Gunawan Hasyim @Ajun, seorang ahli perniagaan dan mempunyai seorang anak lelaki, Rio, berusia 7 tahun.
“Sejak dia berhijrah ke Batam, kami jarang jumpa dan kali terakhir dia pulang ialah pada Tahun Baharu Cina bulan lepas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rancasumur, Sindangsari Pabuaran, Serang.
“Dia hanya beritahu bekerja sebagai jurujual, jadi kami terkejut apabila dia melangkah jauh ke Malaysia.
“Siang malam kami asyik menangis mengenang nasib anak bongsu kami dan saya sangat ingin bertemu dengan dia,” kata Asria.
Siti Aishah adalah antara 4 suspek ditahan polis Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong Nam pada 13 Februari lepas.
Pada hari kejadian, Jong Nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.
Beliau yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Februari lalu menggunakan nama Kim Chol dalam pasportnya, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas lapangan terbang dan diberi rawatan awal di klinik klia2.
Siti Aishah adalah anak bongsu daripada 3 beradik – 2 abangnya hanya bekerja sebagai buruh dan dibesarkan di sebuah kawasan terpencil, manakala kehidupan ibu bapanya bergantung kepada jualan ubi dan kunyit.
Asria berkata, anak perempuannya itu tidak berpelajaran tinggi, tetapi dia seorang yang rajin bekerja dan nekad keluar dari belenggu kemiskinan sejak kecil lagi.
“Walaupun hidup dalam kemiskinan, Siti Aishah seorang yang rajin bekerja, bersikap manja dan tidak pernah nakal,” katanya yang hanya mengetahui kes anaknya ditahan di Malaysia menerusi bekas besannya, Khamis lepas.
Menurutnya, hanya 2 hari lepas, wakil Kementerian Luar Indonesia mengunjungi mereka untuk mengesahkan anaknya ditahan di Malaysia, tetapi tidak memaklumkan apa sebenarnya berlaku.
Beliau juga menafikan laporan media tempatan kononnya Siti Aishah fasih berbahasa Inggeris dan Korea kerana anaknya itu hanya berpendidikan sekolah agama peringkat sekolah rendah sahaja.
Dalam usia belasan tahun, katanya, dia mula bekerja sebagai jurujual pakaian di Jakarta dan menjadi kebanggaan ibu bapa kerana mampu berdikari dan tidak pernah mengeluh kesusahan dilaluinya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top