pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mahkamah Tinggi Akan Tentukan Bolehkah Najib Saman Pengkritik
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 2 hakim Mahkamah Tinggi perlu memutuskan sama ada Perdana Men...
PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 2 hakim Mahkamah Tinggi perlu memutuskan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyaman pengkritik kerana memfitnah boleh mendapatkan remedi.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dijangka menyampaikan keputusannya bulan depan susulan permohonan oleh bekas menteri pengangkutan Tun Ling Liong Sik untuk membatalkan saman Najib yang difailkan pada Disember 2015.
Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap Liong Sik yang mendakwa perdana menteri mengambil wang rakyat berhubung isu derma RM2.6 bilion.
Permohonan Liong Sik didengarkan pada September lepas dan Nor Bee menangguhkan keputusan sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kes fitnah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd.
Fraterniti perundangan berharap mahkamah tertinggi itu akhirnya akan menentukan sama ada prinsip yang ditetapkan dalam kes Derbyshire County lwn Times Newspapers Ltd pada 1993 boleh diguna pakai di Malaysia.
Dalam kes itu, mahkamah di England memutuskan pihak berkuasa tidak boleh memulakan tindakan undang-undang berdasarkan kritikan orang ramai.
Bagaimanapun, panel hakim semalam meremit kes Adnan untuk dibicarakan apabila Utusan berjaya membatalkan saman itu di Mahkamah Rayuan pada Mac atas alasan Adnan selaku pegawai kerajaan tidak boleh menyaman media.
Peguam Ranjit Singh berkata malang sekali panel 5 hakim tidak mengambil peluang untuk menentukan perkara itu.
“Panel mencadangkan ini bukan kes yang layak dan sesuai bagi mereka untuk menentukan sama ada pegawai kerajaan boleh menyaman sesiapa sahaja, termasuk media,” katanya.
Hakim bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata hakim Mahkamah Tinggi perlu memutuskan sama prinsip kes Derbyshire boleh diguna pakai.
“Pihak terkilan kemudian boleh mengangkat perkara itu ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Ranjit, yang mewakili Liong Sik semasa memohon pembatalan di Mahkamah Tinggi pada September lepas menggunakan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Adnan untuk mengatakan Najib selaku pegawai kerajaan tidak boleh menyaman dalam kapasiti rasmi.
Peguam Hafarizam Mohd Harun berkata pokok hujah Najib adalah serangan itu terhadap reputasi peribadinya.
“Peguam Negara akan mewakili perdana menteri sekiranya ia melibatkan kerajaan dan Najib mengambil tindakan dalam kapasiti awam” katanya.
Kes kedua yang belum selesai adalah saman Najib terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan pemilik Mediarakyat.net Chan Chee Kong berkenaan komen yang dibuat oleh wakil rakyat itu di satu majlis kutipan dana DAP.
Perdana menteri mendakwa ucapan Tony bermakna beliau merompak wang rakyat berkenaan dengan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau tidak boleh dipercayai dan didakwa tidak layak memegang jawatan awam.
Tony memohon membatalkan saman Najib kerana beliau tidak boleh menyamannya dalam kapasiti pegawai kerajaan.
Peguam Joanne Chua Tsu Fae, yang menganggotai pasukan peguam Tony, memberitahu pengurusan kes akan diadakan esok di hadapan Hakim Roslan Abu Bakar di mana pihak terlibat akan membuat penghujahan mengenai isu itu.
“Kami juga menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi sekarang ini suatu tarikh mungkin akan ditetapkan untuk mendengar permohonan membatalkan saman itu,” katanya.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyaman Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Chan (pemilik Mediarakyat.net) kerana didakwa memfitnah mereka berkenaan dengan pemansuhan subsidi minyak.
Najib juga menyaman pengarah urusan Harakah Rosli Yaakob dan ketua editor Harakahdaily Taufek Yahya berhubung artikel yang disiarkan di media PAS, Harakahdaily, berhubung 1MDB dan anak tirinya, Riza Aziz.
Pada 2014, perdana menteri turut menyaman media Malaysiakini kerana libel. Bagaimanapun, ia kerana membolehkan komen berbaur libel oleh seorang pembaca, disiarkan di laman web mereka.
Dalam ketiga-tiga kes, tidak jelas sama ada defendan membangkitkan prinsip Derbyshire untuk membatalkan saman Najib. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top