pahangdaily pahangdaily Author
Title: "Bekas Lombong Bauksit", Jangan Abaikan "Titah" Tengku Abdullah !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa di Kuantan tidak menga...
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa di Kuantan tidak mengabaikan arahan pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung bekas lombong bauksit.
Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman dipetik The Star berkata, beliau kecewa dengan kekurangan tindakan pihak berkuasa susulan tragedi 3 kanak-kanak lemas pada 4 Februari lalu di sebuah bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, Sungai Karang, dekat Kuantan.
Tengku Abdullah yang memberi perhatian terhadap kejadian itu, menemui keluarga mangsa dan menitah pihak berkuasa menimbus bekas lombong terbabit.
Tengku Abdullah turut meminta pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran supaya orang ramai tidak memasuki tapak bekas lombong bauksit.
Bagaimanapun, Ali Akbar berkata, selepas seminggu, tidak banyak yang dilakukan untuk menimbus atau memberi amaran kepada orang ramai berhubung bahaya di bekas lombong bauksit.
“Di RTP Bukit Goh, sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kolam terbentuk di bekas lombong bauksit.
“Tiada pagar atau tanda amaran diletakkan dan tiada kerja dijalankan setakat ini untuk menimbus kolam itu. Kolam masih dibiarkan terdedah dan mudah dimasuki.
“Seolah-olah titah Tengku Abdullah diabaikan,” katanya dipetik The Star.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa lebih proaktif dalam mencari dan menutup tapak bekas lombong bagi mengelakkan kejadian lemas berulang.
“Kita tidak boleh hanya menyalahkan ibu bapa dan kanak-kanak apabila tragedi berlaku.
“Pemilik tanah dan pihak berkuasa juga berperanan memastikan orang ramai selamat daripada bahaya lombong terbiar di belakang rumah kami,” kata Ali Akbar yang akan cuba menemui pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
Dalam kejadian 4 Februari lalu, Salsabila Zuhairi, 12, terjerlus ke dalam kolam bekas lombong bauksit dan lemas ketika cuba mengambil seluar adiknya, Mohamad Aiman Hakimi, 10.
Seorang lagi adiknya, Mahathir Mohamad, 7, bersama kawannya, Nureen Ain Juwita, 10, cuba membantu, tetapi turut lemas.
Ini bukan tragedi pertama di bekas lombong. Pada Oktober 2015, seorang remaja berusia 14 tahun, Nabil Ariff Shaari, lemas ketika mandi di sebuah kolam bekas lombong bauksit di Ladang Makmur, Bukit Goh.
Menurut The Star, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Mohd Soffi Abdul Razak serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar gagal dihubungi semalam. #sumber

Advertisement

Post a Comment




 
Top