pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pelajar Kian 'Terancam', Bumbung Sekolah Di Pekan 'Masih Gagal' Di Baiki Sejak Dua Tahun Lalu !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PEKAN:  Seramai 482 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar berdepan risiko keselamatan apabila masalah bumbung ru...

PEKAN: Seramai 482 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar berdepan risiko keselamatan apabila masalah bumbung runtuh yang dihadapi sejak lebih dua tahun lalu masih gagal dibaiki.

Sebanyak 12 bilik darjah di tingkat tiga sekolah itu tidak boleh digunakan kerana bimbang bumbung runtuh pada bila-bila masa.

Pengetuanya, Osmera Mat berkata, kesemua pelajar terpaksa ditempatkan di bangunan bawah dan makmal bagi membolehkan proses pembelajaran dijalankan walaupun berdepan dalam suasana kurang selesa.

Menurutnya, kekurangan bilik darjah itu telah mengganggu sesi pembelajaran pelajar terutamanya  pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


“Makmal sekolah juga terpaksa digunakan walaupun tempat itu dikatakan bahaya, sebab kita tak ada pilihan dan tak ada tempat. Kita nak sangat kerja pembaikan bumbung dilakukan segera kerana segala surat berkaitan telah saya serahkan dua tahun lalu.

“Saya tak faham kenapa perlu dilengah-lengahkan kerana ia tempat anak bangsa belajar dan ini pula kawasan PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) sepatutnya perkara itu sudah lama diselesaikan,” katanya ketika ditemui di sekolah terbabit.

Selain berdepan dengan masalah itu, Osmera berkata, isu perpindahan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Shahbandar juga sehingga kini masih belum ada keputusan rasmi.
Katanya, perpindahan itu dijadualkan selepas cuti Tahun Baharu Cina, namun pihaknya masih belum menerima surat rasmi daripada kementerian mengenai perkara terbabit.


“Tak tahu bila akan pindah. Kalau berpindah pun akan timbul masalah juga sebab sesi persekolahan di SK Indera Shahbandar berakhir 1.40 petang. Masa untuk belajar terhad. Bayangkan kalau masuk jam 1.40 petang, habis jam 6.30 petang masih tak cukup budak belajar.

“Nak masuk awal kita tak ada tempat. Jadi macam mana kita nak cukupkan tujuh jam sesi pembelajaran. Ditambah pula kita perlukan makmal untuk pelajar sains tulen menjalankan amali mereka," katanya.

Pernah diisytihar darurat

Dalam pada itu, tambahnya, setelah dua tahun masalah tidak selesai, pihaknya kini buntu memikirkan masalah itu meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi membolehkan bumbung tersebut dibaiki segera.

Menurutnya, segala surat berkaitan dengan keruntuhan bumbung itu telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Pendidikan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Pendidikan Daerah Pekan dan Negeri telah diserahkan pada Disember 2015.

“Mesyuarat juga telah diadakan selepas kejadian itu dan ia telah dihadiri oleh wakil Kementerian Pendidikan dan jurutera daerah ini. Pada mesyuarat tersebut mereka bersetuju untuk isytiharkan darurat supaya bumbung sekolah itu dapat dibina segera seperti Dengkil dan Sabah. Oleh sebab ini kawasan PM, patutnya kerja-kerja itu dapat disiapkan segera. Namun berlaku sebaliknya,” katanya lagi.

Menurutnya, masalah berlarutan sehingga Jun 2016, dan sekali lagi unit Forensik JKR Putrajaya melakukan pemeriksaan dan mengklasifikasikan bangunan ini tidak selamat untuk diduduki.

“Tak selamat tapi kami semua terpaksa  juga untuk terus berada di sini. Kalau tak mana tempat pelajar nak belajar. Jadi mereka sarankan kami gunakan bangunan tingkat dua dan tingkat bawah,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan yang akan dibelanjakan untuk membaiki kesemua kerosakan itu, Osmera berkata, hasil daripada siasatan daripada JKR mendapati kira-kira RM2.49 juta diperlukan.

Katanya, itu peruntukan yang dicadangkan setakat ini, namun sehingga kini ia masih belum diluluskan.


Pelajar bimbang kena hempap bumbung

Rata-rata pelajar di sekolah ini juga mendakwa tidak selesa belajar di sekolah itu kerana bimbang  berlakunya musibah akibat dihempap bumbung yang jatuh.

Nurul Taqiah Mohd Rizal, 17, berkata, setakat ini tidak berlaku lagi masalah sedemikian, namun khuatir musibah itu boleh terjadi dalam keadaan cuaca yang tak menentu kini.

Menurutnya, disebabkan masalah itu, dia mengakui kurang selesa untuk belajar dan berharap masalah tersebut dapat diselesaikan segera.

“Saya nak sangat bumbung tu dibaiki supaya kami dapat belajar dengan selesa dan selamat," katanya.

Seorang lagi pelajar, Nurul Madiah Lokman Hakim, 17, memberitahu masalah tersebut sudah dua tahun berlarutan dan terkilan kerana tiada tindakan daripada pihak berwajib.


Ibu bapa minta baiki segera

Selain murid, golongan ibu bapa juga bimbang dengan keadaan yang berlarutan hampir dua tahun yang dilihat tiada sebarang langkah daripada pihak berkaitan.

Ramli Abbas, 40, berkata, walaupun masih tiada kejadian buruk berlaku dan harapkan pihak berwajib mempercepatkan kerja pembaikan itu.


“Berapa lama masa nak ambil untuk baiki  kerosakan ini sedangkan anak-anak perlu belajar di sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, Raudah Ramli, 31, turut mengakui bimbang dengan perkara tidak diingini berlaku kepada anaknya yang setiap hari datang ke sekolah.

“Saya mohon penyelesaian segera dan anak-anak semua mahu belajar dengan selesa,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top