pahangdaily pahangdaily Author
Title: Penganalisis: "BN Boleh Rampas" Selangor, Jika PAS Kekal Sendirian
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
SHAH ALAM: Penganalisis politik melahirkan keyakinan Umno/Barisan Nasional (BN) akan dapat menguasai Selangor pada pilihan raya umum ak...
SHAH ALAM: Penganalisis politik melahirkan keyakinan Umno/Barisan Nasional (BN) akan dapat menguasai Selangor pada pilihan raya umum akan datang jika PAS bertegas tidak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Shukri Shuaib berkata demikian semasa soal jawab program “Wacana Politik: Perjuangan atau Populariti” anjuran Sinar Harian, hari ini.
“Sekiranya PAS tidak bersama PH, Umno boleh ambil semula Selangor malah bukan itu sahaja pembangkang juga akan kehilangan Pulau Pinang,” kata Shukri.
Ia susulan pertanyaan moderator wacana berhubung peluang BN untuk menawan semula Selangor pada PRU akan datang.
Baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Amanah.
Ia sekaligus membayangkan kemungkinan kerjasama PAS dengan PH turut terjejas.
Pada masa sama, Shukri turut menegur sikap pembangkang yang sering memperkecilkan penyokong Umno/BN, seolah-olah mereka tidak pandai menilai.
“Kalau pihak pembangkang dan PKR tidak henti memperkecilkan penyokong Umno/BN yang seolah-olah mereka ini tidak pandai, tidak berpendidikan saya ingat perkara itu boleh juga terjadi kepada pembangkang,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan kedua-dua pihak saling menghormati cara berpolitik masing-masing.
“Rumusannya, perjuangan siapa yang akan dipilih rakyat nanti itulah medan dan KPI sebenar. Jika Umno/BN kembali berjaya seperti sebelum ini dan menang lebih besar, maka jelaslah jawapannya iaitu rakyat memilih perjuangan Umno/BN,” kata Shukri.
Majlis yang berlangsung selama 2 jam itu turut disertai beberapa ahli panel iaitu Datuk Seri Jamal Md Yunos (ketua Umno Bahagian Sungai Besar), Mohd Radzlan Jalaludin (naib ketua Pemuda PKR) dan Shahril Hamdan (exco Pemuda Umno). #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top