pahangdaily pahangdaily Author
Title: Tipu Pelaburan Pajakan Hotel Di Mekah, Lelaki Di Benar Ikat Jamin
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang ahli perniagaan yang menghadapi 2 pertuduhan menipu pelaburan paja...
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang ahli perniagaan yang menghadapi 2 pertuduhan menipu pelaburan pajakan bilik hotel di Mekah melibatkan kerugian lebih RM320,000 dibebaskan dengan jaminan.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan bekas tentera berusia 43 tahun, Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 April ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun Sheikh Saidey Nor yang diwakili peguam Che Arifin Mohd Ali, memohon dibenarkan jaminan minimum dengan alasan tertuduh perlu menanggung isteri dan 4 anak.
“Saya memohon jaminan minimum dengan mengambil kira kes tertuduh di Mahkamah Majistret Selayang yang dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Hari ini saudara tertuduh bersedia untuk menjaminnya,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, Sheikh Saidey Nor dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menipu dengan memperdaya Mohd Ismail Norbat melalui penama Nor Hazeerena Hamdan dengan menawarkan pajakan bilik hotel di Mekah yang tidak wujud.
Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM324,300 ke dalam 3 akaun milik Nor Hazeerena sebelum dipindahkan ke 8 akaun yang diuruskan tertuduh atas arahan tertuduh, sedangkan mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Maybank Desa Pandan, antara 27 November 2015 dan 30 Jun tahun lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Pada 10 Januari lalu, tertuduh dan isterinya, Sofia Affendi, 42, masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas 2 pertuduhan berkaitan menipu dan bersubahat memperdaya pelabur berkaitan program Islamic Hotel, 2 tahun lalu.
Pada 12 Januari lalu, Sheikh Saidey Nor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan menipu dan memperdaya beberapa individu berhubung pelaburan pajakan bilik hotel di Mekah. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top