pahangdaily pahangdaily Author
Title: Sultan Ibrahim Membenarkan TMJ Bertanding Jawatan Presiden FAM
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JOHOR BAHRU: Harapan menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meneraju...
JOHOR BAHRU: Harapan menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin hampir menjadi kenyataan.
Pertemuan 14 anggota gabungan FAM dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyaksikan baginda mengizinkan TMJ bertanding jawatan presiden FAM pada 25 Mac ini.
Kata putus itu diperoleh dalam pertemuan tertutup kira-kira sejam antara Sultan Ibrahim dan 14 anggota gabungan FAM itu di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Jurucakap kumpulan itu, Datuk Mohd Yusof Mahadi berkata dengan perkembangan terbaru itu, beliau tidak nampak ada sebarang masalah untuk Tunku Ismail bertanding jawatan berkenaan.
“Sultan Ibrahim sebenarnya mahu melihat kesungguhan dan sokongan kami terhadap anakandanya untuk bertanding jawatan tersebut dan selepas melihat perkara berkenaan, baginda bersetuju.
“Kami juga anggap dengan keputusan ini, Tunku Ismail bersetuju bertanding kerana selama ini Tunku sering menyatakan halangan menerima pencalonan itu kerana tidak mendapat perkenan ayahandanya,” katanya.
Yusof, yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Melaka berkata dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut menasihati anggota gabungan berkenaan agar tidak meletakkan tempoh tertentu kepada anakandanya untuk membawa pembaharuan dalam FAM.
“Sultan Ibrahim cuma mahu Tunku Ismail diberi masa membina semula organisasi tersebut dan nampaknya usaha kita selama beberapa bulan ini untuk melihat Tunku Ismail menerajui FAM kian menjadi kenyataan,” katanya.
Wakil persatuan negeri yang hadir terdiri dari Melaka, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Perlis, Felda, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, wakil Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Persatuan Bola Sepak India Malaysia dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia manakala 6 persatuan iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak dan Pulau Pinang tidak hadir.
Selain Tunku Ismail, 3 nama lain yang dicalon untuk jawatan presiden FAM itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa dan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat.
Kongres FAM akan diadakan pada 25 Mac nanti dan senarai akhir calon akan dibentangkan kepada exco FAM pada 20 Februari bagi menentukan calon yang layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepemimpinan untuk penggal 2017-2021. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top