pahangdaily pahangdaily Author
Title: Surendran: 82 Gambar Foto Bedah Siasat, Bukti Jelas Punca Kematian !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Peguam hari ini mempersoalkan kenyataan polis yang tidak jelas dengan keputusan bedah siasat ke-2 kes S Balamurugan, deng...
PETALING JAYA: Peguam hari ini mempersoalkan kenyataan polis yang tidak jelas dengan keputusan bedah siasat ke-2 kes S Balamurugan, dengan bukti 82 gambar jelas menunjukkan berlakunya pelbagai trauma hentakan tumpul yang membawa kepada kegagalan jantung.
Mewakili keluarga si mati dalam kes kematian dalam tahanan baru-baru ini, peguam Surendran dan Latheefa Koya turut mempersoalkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana memanggil doktor yang melakukan bedah siasat ke-2 untuk merekodkan kenyataan mereka.
“Pertama, tiada apa yang ‘kabur’ tentang hasil bedah siasat ke-2, seperti didakwa ketua polis negara. Ia jelas menyatakan punca kematian sebagai ‘penyakit arteri koronari dengan pelbagai trauma hentakan tumpul’. Ini bermakna kegagalan jantung itu disebabkan dibelasah.
“Jika tidak, pelbagai trauma hentakan tumpul tidak mungkin akan dimasukkan sebagai punca kematian oleh pakar patologi itu!” kata Surendran.
Naib presiden PKR berkata kehadiran pegawai penyiasat polis semasa pasukan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjelaskan secara terperinci kepada keluarga dan peguam mengenai hasil bedah siasat ke-2 harus cukup untuk polis menerima keputusan.
Balamurugan, 44, meninggal dunia pada 8 Feb semasa di Balai Polis Daerah Klang.
Beliau ditahan pada 6 Feb dan dibawa ke mahkamah untuk memperoleh reman pada hari berikutnya.
Mahkamah Majistret menolak perintah reman itu dan mengarahkan Balamurugan dibebaskan, tetapi ia tidak dilakukan.
Berikutan kematian Balamurugan itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, 10 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, pada sidang akhbar semalam, Khalid berkata hanya seorang pegawai polis disiasat kerana mengabaikan perintah mahkamah yang menuntut Balamurugan dibebaskan.
Beliau berkata polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat pertama tetapi akan memanggil pakar patologi terlibat dalam bedah siasat ke-2 untuk maklumat selanjutnya kerana laporan itu “kabur” dan “terlalu ringkas”.
Surendran berkata ia juga tidak boleh menerima yang siasatan dijalankan masih atas sebab “pengurungan salah”.
“Ketua polis negara jelas dimaklumkan bedah siasat ke-2 mendapati Balamurugan mengalami trauma hentakan tumpul iaitu dipukul. Maka mengapa siasatan masih di bawah Seksyen 345 Kanun Keseksaan kerana ‘pengurungan salah’ sahaja?
“Sekurang-kurangnya, siasatan perlu dibuka bagi kesalahan lebih serius, seperti pembunuhan atau membunuh tanpa niat atau menyebabkan kecederaan parah,” kata Surendran, merujuk “bukti saintifik” bedah siasat ke-2 yang menunjukkan kesan di pukul di kepala, dada, belakang dan kaki.
Mengulas lanjut mengenai betapa seriusnya kejadian itu dengan pelbagai trauma hentakan tumpul dikenal pasti, peguam juga menuntut penjelasan mengapa tidak ada anggota polis ditahan atau digantung.
Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai (Kedah) juga terganggu dengan hasrat pihak polis mahu memanggil pakar patologi HKL untuk merakam kenyataan, berkata doktor bukan saksi kepada kes itu.
“Beliau adalah seorang penyiasat saintifik. Beliau dan pasukannya memberi taklimat terperinci dengan kehadiran polis, dan polis mempunyai set penuh gambar.
“Keputusan perubatan ahli patologi tidak boleh dirakam melalui kenyataan polis.
“Ahli perubatan profesional yang menjalankan tugas mereka tidak boleh tertakluk kepada proses siasatan polis, “kata Surendran.
Menuntut keadilan pantas bagi keluarga si mati, Surendran dan Latheefa berkata, penjelasan daripada pihak polis dan Khalid semalam “jelas tidak boleh diterima”. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top