pahangdaily pahangdaily Author
Title: Tindakan Penguat Kuasa Biadab, Pasangan ‘Khalwat’ Saman JAWI
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri hari ini memfailkan tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) kerana menye...
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri hari ini memfailkan tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) kerana menyerang dan menangkap khalwat mereka pada 8 Januari.
Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, berkata tindakan ke atas Jawi itu kerana melakukan penangkapan dan penahanan secara salah, pencerobohan diri serta privasi.
Selain itu, Jawi didakwa turut melakukan penyalahgunaan kuasa penjawat awam dan perlanggaran kebebasan asasi di bawah Perlembagaan persekutuan.

Peguam pasangan itu, Yusfarizal Yusoff berkata tujuan mereka mengambil tindakan undang-undang adalah bagi menuntut keadilan terhadap anak guamnya.
“Kami merasakan undang-undang tersebut, lunas dan prinsip umum perlu dipatuhi seperti menjaga privasi orang yang diserbu, kebebasan hak asasi mereka dan akhlak dalam serbuan kerana ini membabitkan aurat wanita berkahwin.
“Ke-2, kita menuntut keadilan bagi prosedur serbuan itu sendiri setelah anak guam saya mengemukakan bukti (mereka adalah pasangan berkahwin secara sah). Paling mengecewakan saya secara peribadi bila mengemukakan salinan sijil asal nikah pada malam terbabit di pejabat Jawi, mereka masih enggan menerimanya.
“Kalau ini boleh berlaku pada anak guam saya, ini juga boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Jadi kita mengambil tindakan ini atas kesedaran memperbetulkan salah guna kuasa yang berlaku dan untuk keadilan pada anak guam,” katanya di lobi Mahkamah Tinggi hari ini.
Menurut Yusfarizal, dalam kejadian 8 Januari lalu, pasangan suami isteri terbabit menginap di sebuah hotel bajet di ibu negara dan kira-kira jam 1.30 pagi dan bilik mereka diserbu sekumpulan pegawai agama terdiri daripada 7 pegawai lelaki dan seorang pegawai wanita.
Katanya, walaupun dimaklumkan Ridhuan isterinya berada di dalam bilik dan tidak berpakaian lengkap, pegawai lelaki tanpa keperluan mendesak memasuki bilik berkenaan secara paksa dan mengakibatkan pergelutan antara mereka sehingga membawa kecederaan di bahagian leher Ridhuan.
“Walaupun si suami beberapa kali memaklumkan kepada pegawai serbuan yang mereka suami isteri yang sah dan menunjukkan paparan gambar sijil nikah melalui telefon bimbit, pegawai terbabit enggan menerima penjelasan diberikan.
“Sebaliknya, pegawai lelaki mengarahkan si isteri di hadapan suaminya sendiri memakai pakaian lengkap di hadapan pegawai lelaki. Seorang daripada pegawai lelaki masih terus menangkap gambar dan merakam video pasangan itu walaupun dimaklumkan status sah perkahwinan mereka,” katanya.
Yusfarizal berkata, pasangan itu menuntut 4 perkara iaitu ganti rugi am, teruk dan teladan; kenyataan maaf; penarikan balik segala siasatan lanjut terhadap mereka dan kos tindakan serta faedah.
Beliau berkata, pihaknya tidak menamakan amaun saman kerana kaedah mahkamah terbaru tidak membenarkan amaun kerosakan dinamakan.
Mereka menamakan 7 orang iaitu Mohd Shaham Ramli, Mohammad Izehar Md Amin, ketua pegawai pengkuat kuasa agama Jawi; ketua pengarah Jawi, Jawi; Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top