pahangdaily pahangdaily Author
Title: Ariff Sabri: Salah Silap "Felda" Kini Langsung "Tidak Boleh Di Tegur" !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
Saya mahu beri komen sedikit mengenai bantahan Felda ke atas konvensyen Felda yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan. Bantahan tersebut ...

Saya mahu beri komen sedikit mengenai bantahan Felda ke atas konvensyen Felda yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan. Bantahan tersebut dibuat oleh Ketua Eksekutif Felda – Hanapi Suhada. Kononnya, konvensyen ini mengacau keharmonian dan kebajikan warga Felda. Warga Felda akan berbalah sesama sendiri, pendapatan mereka akan diambil oleh penganjur konvensyen. Agaknya, demikianlah naratifnya.
Saya meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Hanapi Suhada. Tidak ada pun menyebut keberadaan Lim Kit Siang atau DAP sebagai musuh hakiki. Ini pasti tambahan dari macai pemberita dan pasukan propaganda UMNO dan kerajaan yang memerintah.
Konvensyen ini dimulakan oleh beberapa ahli parlimen parti pembangkang – terdiri dari Ahli-ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, Amanah dan DAP. Ia disertai juga oleh pertubuhan anak Felda – Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Invoke pimpinan Rafizi Ramli. Malah Invoke dan Rafizi lah pencetus idea konvensyen ini.
Kebetulan, ANAK mempunyai lebih legitimasi dari pertubuhan yang dibentuk oleh ahli-ahli UMNO – Kami Anak Felda atau KAF. Timbalan pengerusi KAF ialah Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz, bekas EXCO negeri Pahang. Berlainan dengan ANAK, KAF lebih berbentuk organisasi di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang diketepikan berteduh dan berkelana untuk kekal relevan. Warga Felda lebih berbaloi menyertai ANAK berbanding KAF.
Saya sudah menjawab perkara-perkara kurang rasional dan berbaur perkauman oleh Datuk Mohd Sahfri. Mari kita beri beberapa instruksi kepada Hanapi Suhada pula.
Hanapi Suhada mesti sedar bahawa ahli-ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab bercakap dan membangkitkan isu-isu yang melanda institusi yang dibentuk oleh kerajaan. Secara teknikal ahli Parlimen pembangkang pun ahli kerajaan – kerajaan menanti dan akan mengganti. Di samping itu, Hanapi Suhada mesti faham konsep kerajaan yang memerintah. Secara implikasinya, yang tidak memerintah pun sebahagian daripada institusi kerajaan. Ia memberi kita hak untuk bercakap ke atas segala institusi di bawah jagaan kerajaan.
Semua institusi yang diwujudkan oleh kerajaan tertakluk kepada prinsip akauntabiliti. Semuanya menjawab kepada kerajaan yang memerintah, kerajaan yang menanti dan kepada semua anggota masyarakat yang mahu menyatakan sesuatu mengenai institusi-institusi tersebut. Mereka tidak menanti mendapat kebenaran dari Felda. Selagi Felda itu dibiayai oleh wang rakyat melalui kerajaan yang memerintah, ia tertakluk kepada prinsip akauntabiliti, atau kebertanggungjwaban. Kebertanggungjawaban kepada rakyat adalah sekatan yang mujarrab keatas perbuatan salah laku.
Felda tidak terkecuali dari prinsip akauntabiliti ini. Banyak isu yang melanda Felda kalau tidak dibangkitkan oleh parti pembangkang, akan didiamkan malah disembunyikan. Maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab parti pembangkang membawa isu Felda kepada perhatian rakyat.
Atas autoriti apa Felda mahu membantah dikritik oleh orang awam apatah lagi oleh ahli-ahli Parlimen? Jangan beritahu kita, kita tidak boleh bercakap mengenai Felda kerana Felda rasa tidak suka?
Jika demikian, tidak ada orang boleh membongkar isu 1MDB kerana 1MDB pun tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapa untuk membongkar salah laku yang berlaku dalam 1MDB. Demikian juga, tidak ada orang boleh bercakap mengenai Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kerana MAS pun tidak memberi kebenaran kepada sesiapa membongkar salah laku dalam MAS. Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) pun demikian juga.
Jika Hanapi Suhada mahu tahu, pemberi kuasa kepada pembangkang untuk bercakap dan mengkritik Felda, ialah prinsip pertanggungjawaban. Prinsip ini bukan hak milik Felda.
Bagaimana kita mahu tahu jika Felda ada melakukan keburukan, rasuah, pencurian wang, jika percakapan mengenai perkara-perkara ini dihalang?
Hanapi Suhada kata warga Felda akan keliru. Itu tanggapan oleh Hanapi Suhada sahaja yang menganggap warga Felda ini jahil dalam membaca yang tersirat dari akhbar, berita-berita televisyen dan tulisan internet. Bahkan warga Felda menyambut baik inisiatif yang dilakukan oleh beberapa parti politik, bersama Amanah dan Invoke untuk mengangkat kesedaran mengenai Felda dalam kalangan rakyat Malaysia.
Nama Felda telah digunakan untuk melakukan beberapa jenayah ekonomi. Felda memaksa Koperasi Permodalan Felda (KPF) melepaskan pegangan 51 peratus dalam Felda Holdings dan segala aset di sana. KPF telah mendapat imbuhan one off sebanyak RM2 billion. Kemudian pengerusi Felda ketika itu, memaksa KPF yang ada wang membeli ladang dari Sarawak pada harga RM1.2 billion. Sedangkan harga dalam pasaran ketika itu sekitar RM800 juta.
Jika perkara ini tidak didedahkan, bagaimana warga Felda hendak tahu apa berlaku ke atas imbuhan RM2 billion setelah melepaskan 51% dalam Felda Holdings?
Ada pihak menggunakan nama Felda untuk mengekalkan warga Felda sebagai si berhutang yang akan mati meninggalkan hutang. Ada pihak menggunakan nama Felda untuk menjual aset yang paling berharga yakni tanah untuk ditukar kepada saham yang diperdagangkan dalam pasaran ala kasino dan tidak menentu harganya.
Parti pembangkang bukan mencetuskan huru hara. Mereka hanya menawarkan pencerahan dan penerangan mengenai isu-isu yang melanda Felda, peneroka dan warga Felda. Warga Felda mempunyai hak mendengar pendedahan masalah yang mereka hadapi dan mendengar jalan penyelesaian.
Janganlah mengekalkan warga Felda sebagai penghuni pulau yang tidak terkesan oleh rejim pemerintahan kerajaan yang tidak baik. Masalah yang dihadapi oleh warga Felda sama sahaja seperti rakyat bukan Felda, yakni bernaung di bawah kerajaan yang hari demi hari menunjukkan ia tidak peduli kepada hak rakyat.
Janganlah Felda berselindung dengan tuduhan bahawa konvensyen ini dikepalai dan dirancang oleh DAP. DAP mewakili semua rakyat Malaysia yang benci akan rasuah, benci akan kepimpinan kerajaan yang korup, anti kepada kerajaan yang menyusahkan rakyat dan menindas mereka. Parti-parti pembangkang semuanya mendukung dan berpegang kepada prinsip pertanggungjawaban atau akauntabiliti setiap institusi kerajaan. Jika ia tidak mahu menjawab kepada kerajaan yang memerintah, ia masih perlu menjawab kepada kerajaan yang menanti. #sumber
*Datuk Ariff adalah Ahli Parlimen Raub merangkap Ahli Jawatankuasa DAP Pahang

Advertisement

Post a Comment

Anonymous said... Thursday, March 16, 2017 11:18:00 AM

Kecewa dan marah tak dicalon BN kerusi DUN kat Pekan....laju lompat parti masuk parti DApigs dapatlah jadi MP Raub....mengambarkan org tiada prinsip dan tak berjiwa melayu...sanggup juabeli maruah dan prinsip kerana memikirkan tembolok sendiri....org macam inikah yang patut kita sokong?....muka cheap sale!

 
Top