pahangdaily pahangdaily Author
Title: "Bersih 2.0" Dakwa Adanya Usaha Halang Pengundi Dari Mendaftar !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mendakwa ada usaha dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk meng...
PETALING JAYA: Badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mendakwa ada usaha dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk menghalang individu mendaftar sebagai pengundi baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata tindakan itu dilakukan dengan mengeksploitasi peruntukan dalam Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pengundi) 2002 yang membenarkan bantahan dibuat terhadap individu yang baru mendaftar sebagai pengundi.
Beliau merujuk kepada insiden pada Isnin di mana pasukan peninjau Bersih 2.0 melihat beberapa bantahan difailkan agak meragukan oleh satu kumpulan yang dilihat seperti mendapat arahan daripada satu “agensi”.
“Peruntukan bantahan dalam Peraturan itu diwujudkan untuk mengelak pengundi hantu.
“Tetapi malangnya, kini ada trend terbaru dalam bantahan yang mungkin menimbulkan tanggapan salah di mana ada usaha menghalang pengundi baharu mendaftar,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Maria berkata sebaik saja bantahan difailkan terhadap seseorang yang mendaftar sebagai pengundi, individu itu terpaksa hadir ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk inkuiri dan menunjukkan bukti beliau pengundi sah dalam kawasan berkenaan.
Apabila individu itu disahkan tulen, pihak yang memfailkan bantahan kemudian bertanggungjawab membayar ganti rugi RM100 kepada pengundi berdaftar itu.
Maria berkata pasukan Bersih 2.0 menghabiskan masa 2 jam di pejabat SPR di Shah Alam pada Isnin untuk memantau proses bantahan itu.
Katanya, mereka menyaksikan satu kumpulan yang mencurigakan memfailkan bantahan berdasarkan kepada arahan diberi satu “agensi”.
“Sekumpulan lelaki dan wanita bertindak sebagai pembantah diberi arahan daripada seseorang.
“Seorang pengundi bertanya kepada pembantah terbabit bila ganti rugi akan dibayar. Pembantah berkata dia akan menerima bayaran dalam tempoh 3 bulan daripada ‘agensi’,” katanya.
Aktivis Ivy Josiah yang juga bersama pasukan itu cuba mengambil gambar perbualan itu tetapi telefon bimbitnya dirampas seorang lelaki.
“Lelaki itu, berumur lingkungan 30 hingg 35 tahun, merampas telefon saya dan saya terpaku. Dia beritahu saya tidak boleh mengambil gambar,” kata Ivy.
“Saya kemudian beritahu dia saya daripada NGO yang meninjau perubahan pilihan raya dan kami ada hak untuk berada di sini. Jadi saya rampas semula telefon saya.
“Dia berpusing dan kata: ‘Awak tahu siapa saya? Saya daripada ‘Jaringan Melayu’. Lepas itu saya kata ‘Saya daripada ‘Jaringan Malaysia’. Ia berakhir di situ,” katanya.
Maria berkata SPR bertanggungjawab memastikan pengundi sah berdaftar dan untuk mencegah salah guna proses pilihan raya.
Katanya, tidak ada akauntabiliti untuk memastikan RM100 itu diberikan sebagai ganti rugi kepada pengundi yang terjejas.
“Apa mekanisme penguatkuasaan untuk memastikan denda RM100 itu dibayar? Jika ada 100 bantahan ditolak setiap hari, ia boleh mencecah denda RM10,000 sehari.
“Malah, ini bukan kali pertama kita berdepan isu ini. Setahu kita, ia sudah berlaku selama 2 tahun. Isu sama dibangkitkan wakil rakyat DAP, Ong Kian Ming pada 2015 dan kami menerima aduan sama tahun itu,” katanya.

Maria menggesa orang ramai memeriksa status pendaftaran mengundi mereka, mengingatkan supaya menghadiri perbicaraan SPR jika menerima surat bantahan.
“Kami mendesak pengundi berdepan bantahan itu, mengorbankan sedikit masa untuk hadir ke perbicaraan SPR untuk menuntut hak mereka untuk mengundi.
“Kami juga mendesak semua pengundi baharu tulen yang berdepan isu seperti itu menghubungi Bersih 2.0 supaya kami boleh mendapatkan penjelasan daripada SPR,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top