Bersih: Biar Pihak Kami Bantu SPR Untuk Daftar Para Pengundi Yang Layak Mengundi

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 bulan lepas memohon status penolong pendaftar pemilih (ARO) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi membolehkan badan itu mendaftarkan rakyat sebagai pengundi.
Pengurus Sekretariat Bersih Mandeep Singh memaklumkan surat permohonan dihantar kepada SPR pada 28 Februari lalu.
“Kami boleh membantu SPR untuk mendaftarkan mereka yang layak sebagai pengundi,” katanya kepada pemberita ketika kempen daftar mengundi anjuran NGO itu hari ini.
“Setakat ini belum ada maklum balas tetapi kita akan membuat susulan minggu depan,” katanya.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan setakat Februari, sejumlah 4.1 juta warga Malaysia yang layak mengundi belum berdaftar sebagai pengundi, dengan majoritinya golongan muda sekitar 21 tahun.
Beliau berkata, kenyataan tersebut memberikan lebih sebab kepada SPR untuk meluluskan permohonan Bersih.
“Kami boleh membuat mobilisasi di seluruh negara bagi proses pendaftaran,” katanya lagi.
Menurut laporan Sinar Harian Online hari ini, Pengerusi SPR, Datuk Seri Hashim Abdullah berkata mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain “memberi galakan” kepada mereka yang tidak mendaftar sebagai pengundi, walaupun layak berbuat demikian.
Peguam terkemuka Datuk S Ambiga turut menggesa SPR memberikan status ARO kepada Bersih, meningkatkan kempen kesedaran dan memudahkan lagi proses pendaftaran orang ramai.
“Jika pengerusi SPR benar-benar risau, beliau perlu ambil tindakan segera,” katanya.
Bersih sebelum ini pernah mengecam SPR kerana tidak menyambung status ARO dan menyekat proses pendaftaran ARO dari NGO dan parti politik pada hujung 2013, menyebabkan jumlah pengundi baru turun mendadak untuk suku pertama tahun berikutnya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]