pahangdaily pahangdaily Author
Title: 4 Pemuda PAS Selangor Lulus Usul 'Putuskan Hubungan' Dengan PKR !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Pemuda PAS Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR, sele...
PETALING JAYA: Pemuda PAS Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR, selepas usul sama diluluskan di Tumpat (Kelantan), Permatang Pauh dan Bayan Baru (Pulau Pinang).
Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor Ahmad Hakimi Othman berkata keputusan pihaknya dicapai berdasarkan 3 peristiwa membabitkan hubungan PAS dan PKR negeri.
“Pertama, pemimpin PKR Melayu Islam memandang sinis usaha memartabatkan mahkamah syariah dan memejamkan mata dalam penerangan yang diberikan.
“Kedua, Pilihan Raya Kecil Sungai Besar melihatkan pengkhianatan jelas terhadap unsur-unsur tahaluf siyasi PAS yang digariskan dalam Majlis Syura Ulama.
“Ketiga, isu air Selangor dan pertikaian dengan Splash masih tidak diselesaikan hingga menyeret PAS dalam krisis keyakinan rakyat terhadap tindak tanduk kerajaan yang ada,” katanya dalam kenyataan.
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan isu kerjasama dengan PKR akan dimuktamadkan pada muktamar mereka yang ke-63, dijadualkan pada 29 April hingga 1 Mei di Kota Sarang Semut, Kedah.
Sekiranya usul diterima dan diluluskan majlis syura ulama, ia dijangka membuka ruang kepada pertembungan pelbagai penjuru atau menyaksikan peralihan undi penyokong PAS kepada Umno.
Beberapa lagi pemuda PAS kawasan dipercayai akan mengikuti langkah Kuala Selangor, berdasarkan komunikasi antara FMT dan pimpinan pemuda PAS tempatan.
Ketua Pemuda Hulu Langat Zurk Ahmad berkata ia impian yang dinanti-nantikan, manakala Ketua Pemuda Subang Hanafi Zulkapli menggesa semua perwakilan PAS di kawasan masing-masing mengusulkan putus hubungan dengan PKR.
“Situasi ini benar-benar menunjukkan pimpinan PKR tidak menghormati semangat setiakawan dalam ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama) yang dibina,” kata Ketua Pemuda Kuala Langat Muhammad Hanif Jamaluddin.
“Kami sudah bersedia untuk menggerakkan seluruh jentera di semua peringkat bagi memastikan kemenangan di seluruh Selangor.”
Di Hulu Selangor, Ketua Pemuda Amri Abdullah Sani berkata mereka kini memilih untuk berhati-hati dalam kerjasama mereka dengan PKR.
PAS Selangor minta jangan gelabah
Mengulas perkembangan ini, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman berkata kepimpinan negeri mengambil maklum suara sayap pemuda namun setakat ini ia belum boleh dikatakan mewakili suara keseluruhan.
“Kita kena faham usul ini baru 4 kawasan pemuda daripada 22 kawasan dalam Selangor,” katanya. “Jadi pimpinan parti tidak perlu gelabah kerana ini proses biasa kerana suara pemuda perlu didengar.”
“Kita kena faham sifat agresif dan keras pemuda dan kita kena bagi dia bersuara. Akhirnya pandangan ini akan ditentukan pada muktamar nanti.”
Meskipun hasrat putus hubungan mendapat momentum di beberapa kawasan, Khairuddin berkata setakat ini hubungan PAS dan PKR negeri masih berjalan seperti biasa.
“Tahaluf siyasi dengan PKR masih diteruskan dan kita masih dalam kerajaan negeri. Ahli majlis kita, ketua kampung kita masih menjalankan kerja seperti biasa dan hubungan kita dengan kerajaan negeri tiada masalah,” katanya.
“Jadi parti lain tidak perlu menggelabah.”
PKR memimpin kerajaan Selangor, yang disertai PAS, DAP dan Amanah, hasil daripada persetujuan dalam kalangan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12.
Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz baru-baru ini mengesahkan rancangan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menawan Selangor. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top