pahangdaily pahangdaily Author
Title: Isteri Jins Shamsuddin Rasa Kesal, "Cucur Kodok Pisang" Jadi Punca !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
AMPANG:  Andai masa boleh diundur, pastinya cucur kodok pisang tidak dihidangkan sebagai juadah minum petang kepada Allahyarham Tan Sri...

AMPANG: Andai masa boleh diundur, pastinya cucur kodok pisang tidak dihidangkan sebagai juadah minum petang kepada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Ujar balu kepada Allahyarham iaitu Puan Sri Halijah Abdullah, 58, biarpun reda dengan ketentuan Allah, beliau masih berasa ralat atas kehilangan suami tersayang kerana cucur kodok pisang itulah dianggap sebagai punca arwah sesak nafas.

“Dah lama dia tak makan cucur kodok pisang, sebab itu yang saya ralat sangat. Waktu sihat dulu memang dia suka cucur kodok pisang.

“Tapi sejak dia sakit, saya tak pernah bagi. Tapi pagi tadi (Rabu) hati terasa nak bagi dia makan cucur kodok.

“Sampai sekarang saya rasa ralat. Walaupun ia adalah takdir Allah, tapi ralat sebab saya yang bagi dia makan,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Pasir, Hulu Kelang, di sini lewat malam Rabu.

Jins disahkan meninggal dunia pada pukul 5.45 petang Rabu di sebuah klinik di Taman Melawati selepas mengalami sesak nafas ketika minum petang.

Beliau meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Bercerita mengenai detik-detik cemas yang dilaluinya sebelum arwah sesak nafas, Halijah berkata ia berlaku apabila beliau menyuapkan cucur keempat kepada suaminya itu.

“Waktu itu kami di dapur, pukul 5 petang memang waktu dia minum petang. Dia sudah makan sebanyak tiga ketul… tapi apabila disuapkan cucur yang keempat, dia mula senyap.

“Saya suruh dia buang kerana saya dapat rasakan dia tercekek tapi dia tak buka mulut. Saya tepuk-tepuk belakang badannya dan korek cucur itu daripada mulut.

“Selepas saya paksa dia luahkan, saya bagi dia minum dan lepas tu dia muntah hingga tak sedarkan diri. Pada masa itu dia sudah kelihatan pucat,” katanya sambil memberitahu bahawa makanan itu dibelinya pada sebelah pagi.

Tambah Halijah lagi pada mulanya dia sukar menerima hakikat bahawa suaminya itu telah pergi buat selama-lamanya.

“Sebenarnya masa di dalam kereta (perjalanan dari rumah ke klinik) saya dapat rasakan dia sudah tiada.

“Tapi saya tetap suruh doktor periksa sampai empat kali kerana tak puas hati. Masa itu masih tak boleh terima.

“Saya tak nak terima hakikat dia dah tak ada hingga saya minta doktor jangan tutup mayatnya kerana menaruh harapan dia akan bernafas semula,” katanya sedih dengan situasi itu.

Ditanya sama ada Jins ada menunjukkan tanda-tanda bahawa dia akan pergi dalam masa terdekat, Halijah berkata tiada sebarang pentanda yang ditunjukkan arwah.

“Sebab itu saya terperanjat, ia berlaku tanpa tanda-tanda. Sebagai isteri saya reda, saya puas hati dapat jaga dia dalam tempoh enam tahun ini.

“Walaupun dia tak kenal siapa saya, tapi sampai saat akhir... saya yang suap dia,” katanya.

Jenazah Jins akan dimandikan kira-kira pukul 8 pagi sebelum dibawa ke Masjid Al-Ridhuan di sini untuk dikebumikan pada kira-kira pukul 11 pagi Khamis.

Allahyarham turut meninggalkan empat orang anak iaitu Muhammad Jafri (perkahwinan dengan seniwati Rahmah Rahmat), Puter Hang Tuah @ Shazrin (perkahwinan dengan Jamilah Shukur) dan dua anak hasil perkahwinan bersama Halijah iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nedim. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top