pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kerajaan Pahang Di Gesa "Dedah" SOP Melombong Bauksit Sebelum Tamat Tempoh Penggantungan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
MENTAKAB : Kerajaan Negeri Pahang digesa menyatakan cadangan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti perlombongan b...


MENTAKAB: Kerajaan Negeri Pahang digesa menyatakan cadangan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti perlombongan bauksit sebelum moratorium (tempoh penggantungan) aktiviti berkenaan ditarik balik.
Ini kerana cadangan penambahbaikan yang telah dihantar kepada kerajaan Pusat oleh kerajaan negeri pada Mac tahun lalu itu, sehingga kini masih tidak ketahui perkembangannya, kata Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
“Setakat ini tidak ada maklumat yang kami (pihak pembangkang) terima daripada kerajaan negeri mengenai SOP berkenaan. Malah, kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob kebanyakannya hanya boleh didapati di akhbar,” katanya kepada Roketkini.
Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang berkata, penjelasan kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan berhubung SOP itu penting bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan mengawal aktiviti perlombongan bauksit.
“Kita tidak mahu kejadian tiga kanak-kanak ditemui mati di kolam bekas lombong bauksit di Beserah, Kuantan pada bulan lalu berulang lagi.
“Malah, pencemaran alam sekitar yang terpaksa dihadapi penduduk di negeri ini berlaku akibat bauksit tidak patut berulang,” katanya yang juga Adun Mentakab.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Adnan Yaakob seperti dilaporkan media semalam, yang menjangkakan bahawa tempoh moratorium bauksit yang sepatutnya berakhir pertengahan bulan ini dilanjutkan sehingga Jun depan.
Menurut Adnan Yaakob, tempoh moratorium itu dilanjutkan berikutan masih terdapat pengusaha bauksit haram beroperasi di kawasan baru. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top