pahangdaily pahangdaily Author
Title: Khalid Samad: PAS 'Hanya Belajar' Selepas Jatuh, Kini Rasa Dah Kuat !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: PAS disifatkan parti yang hanya akan belajar menjadi lebih sederhana dan progresif setelah kalah teruk dalam pilihan raya...
PETALING JAYA: PAS disifatkan parti yang hanya akan belajar menjadi lebih sederhana dan progresif setelah kalah teruk dalam pilihan raya, menurut seorang bekas pemimpin kanan parti itu.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, kini pemimpin Amanah, mengingatkan kembali prestasi buruk PAS pada pilihan raya umum 1986 dan 2004, di mana ketika itu PAS mendakap Islamisme yang keras sebelum terpaksa mengambil jalan sederhana dalam usaha memulihkan parti.
Khalid berkata trend itu berulang kembali dan membidas “memori singkat” parti di sebalik permainan psikologi Umno.
“Malangnya PAS memiliki memori yang singkat dan merasakan mereka berada pada kedudukan sekarang kerana kekuatan sendiri dan sokongan orang ramai.
“Saya percaya mereka disuap maklumat yang salah oleh Umno yang mengatakan PAS sangat kuat dan seterusnya, dan kerana itu Umno membuatkan PAS menjadi semakin konservatif dan mendapat beberapa manfaat politik daripada keadaan itu,” katanya.
Khalid tidak melihat PAS menjadi parti yang lebih terbuka dan lebih progresif sehingga mereka mengalami kekalahan yang teruk.
“Mereka perlu kalah dan perlu kalah dengan teruk sebelum ia boleh berlaku dan melihat kepada arah tuju yang dipandu (Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang saya rasa PAS akan hilang segalanya.”
Jatuh bangun PAS
Pada 1982, ulama yang mengambil alih PAS mendapat ilham daripada revolusi Iran 1979 yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam, dan akibatnya politik antara Umno dan PAS semakin mengambil sifat keagamaan.
Barisan Nasional (BN) cuba melawan tarikan PAS dengan mewujudkan beberapa institusi Islam kelolaan kerajaan termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia diselar pemimpin PAS yang melabel inisiatif penerapan nilai Islam sebagai “dangkal” dan “hipokrit”.
Sokongan kepada kedua-dua parti semakin memecahkan masyarakat Melayu dan ada ketikanya perpecahan itu bertukar ganas, seperti dalam peristiwa Memali 1985.
Peristiwa Memali menyaksikan serbuan ke atas sebuah kampung terpencil di Memali, Baling di negeri Kedah, menjadi berakhir dengan kematian 14 orang penduduk kampung dan 4 anggota polis.
Serbuan dilakukan ke atas rumah ahli PAS Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya), yang dikawal ratusan penduduk kampung yang menghalang lebih 200 anggota polis daripada menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selepas peristwa itu, agamawan PAS berdepan pilihan raya umum pertama mereka pada 1986 di mana parti itu mengalami kekalahan pilihan raya terburuk, hanya memenangi 1 kerusi di Parlimen.
Era kebangkitan
Cuba merawat kekalahan itu, PAS berundur dari Islamisme keras dan mengambil laluan yang lebih sederhana, termasuk mengadakan kerjasama dengan parti serpihan Umno, Semangat 46, sehingga berjaya menawan Kelantan pada 1990.
Selepas ledakan reformasi susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, PAS mula mendampingi pelbagai pertubuhan dan parti politik, dan pada 1999 berjaya mendapat jumlah kerusi terbanyak dalam sejarah parti.
Beberapa bulan selepas serangan 9/11 di Amerika Syarikat pada September 2001, DAP meninggalkan Barisan Alternatif selepas bertelagah dengan PAS dalam isu negara Islam.
PAS sekali lagi kehilangan sokongan orang Melayu selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, serta ketakutan dalam kalangan pengundi terhadap Islam radikal di Asia Tenggara pasca peristiwa 11 September.
Ini dibuktikan pada pilihan raya 2004, yang menjadi titik terendah PAS dalam sejarah, dengan hanya 7 kerusi Parlimen.
PAS sekali lagi merawat dirinya dengan mengambil pendekatan pasca 1986, meninggalkan imej keras yang menyumbang kepada kekalahannya.
Kitaran
Khalid percaya kitaran PAS daripada pendirian keras kepada kesederhanaan akan berterusan, kecuali PAS mengalami kekalahan paling teruk pada pilihan raya umum akan datang, termasuk kehilangan Kelantan.
“Barangkali ini satu-satunya cara untuk mereka belajar kerana jika tidak, mereka mengulangi kitaran menjadi angkuh apabila kuat dan berfikiran lebih konservatif dan kemudian kalah dan sedar diri. Malang sekali PAS tak mengambil pengajaran yang sebenar.”
Khalid mengenang kembali pilihan raya umum 2008 dan 2013.
“PAS percaya prestasi pada 2008 dan 2013 kerana kekuatan sendiri dan jentera mereka dan mereka yang membantu parti lain menang. Mereka tak nampak sumbangan parti pembangkang lain dan manfaat bersekutu dengan mereka.
“Mereka juga percaya pakatan itu hanya memberi manfaat kepada PKR dan DAP dan PAS digunakan mereka, jentera PAS dan orang PAS berkempen untuk parti lain dan rasa tidak adil apabila parti pembangkang lain meraih hasil yang lebih baik.”
PAS mengadakan muktamarnya bulan depan, dan antara keputusan penting ialah sama ada meneruskan kerjasama politik dengan PKR. Ia selepas beberapa siri pertikaman lidah antara pemimpin kedua-dua parti, selepas usaha meyakinkan PAS bersama-sama Pakatan Harapan gagal. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top