pahangdaily pahangdaily Author
Title: Lim Kit Siang Kecewa SPR Enggan Jumpa DAP, "Bincang" Isu Daftar Pemilih !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Pemimpin tertinggi DAP, Lim Kit Siang hari ini melahirkan kekecewaan dengan pendirian Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya...
PETALING JAYA: Pemimpin tertinggi DAP, Lim Kit Siang hari ini melahirkan kekecewaan dengan pendirian Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang didakwa telah menolak permintaan pihaknya untuk mengadakan perbincangan mengenai isu sistem pendaftaran pemilih.
“Saya mahu bertemu dengan Pengerusi SPR dan pegawai-pegawai untuk mengetahui mengapa SPR tidak boleh mempunyai satu sistem di mana pengundi boleh mengundi dalam tempoh seminggu atau paling lama satu bulan selepas mendaftar, dan bukannya enam bulan pada masa ini,” kata beliau dalam ucapannya di Bukit Gambir, Johor, hari ini.
Dengan nada sinis, Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata, pengerusi SPR sekarang merupakan ketua yang paling tidak bekerjasama dalam sejarah suruhanjaya itu memandangkan permintaan ahli-ahli Parlimen DAP untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beliau dan pegawai-pegawainya mengenai sistem pendaftaran pengundi ditolak.
“SPR seolah-olah menjadi institusi yang paling sibuk di negara ini, di mana mereka tidak mempunyai masa untuk bertemu dengan ahli-ahli Parlimen dan parti-parti pembangkang.
“Saya tidak tahu sama ada Pengerusi SPR akan memberitahu perdana menteri atau menteri-menteri dan pemimpin Umno bahawa beliau terlalu sibuk untuk bertemu dengan mereka.”
Baru-baru ini, Hashim memberitahu, seramai 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi belum berdaftar sebagai pengundi setakat Februari lalu.
Beliau berkata, jumlah berkenaan merangkumi pelbagai kaum yang majoritinya terdiri daripada golongan muda berumur sekitar 21 tahun.
Kata Kit Siang, tiada pengerusi SPR pada masa-masa lalu yang pernah menolak untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Parlimen untuk membincangkan tugas SPR di bawah perlembagaan, khususnya mengenai perjalanan pilihan raya.
“Yang paling dikesali, kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa PRU14 akan menjadi yang paling tidak adil dan tidak demokratik dalam sejarah negara,” kata beliau lagi.
Dalam ucapannya, Kit Siang juga berkata, tempoh dua minggu akan datang adalah peluang terakhir bagi lebih 4 juta pengundi yang layak tetapi belum mendaftar untuk mendaftarkan diri mereka bagi memiliki peluang mengundi dalam PRU14, yang diramal akan diadakan September ini.
“Sejak pertama kali saya dipilih ke Parlimen pada tahun 1969, salah satu isu yang saya telah bangkitkan adalah untuk mengadakan pendaftaran pengundi secara automatik, yang agak biasa di negara-negara lain tetapi seolah-olah mustahil di Malaysia,” kata beliau.
Nampaknya, tambah beliau, Malaysia mempunyai sebuah suruhanjaya yang paling tidak cekap di dunia, di mana tidak mampu untuk mengadakan sistem pendaftaran pengundi terkini.
“Negara-negara lain boleh mempunyai sistem di mana seorang pengundi boleh mendaftar hari ini dan mengundi esok, tetapi di Malaysia, SPR perlu kira-kira enam bulan sebelum boleh memproses pendaftaran dan membenarkan pengundi untuk membuang undi mereka,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top