pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pegawai Korea Utara Dakwa Kim Jong Nam 'Mati' Akibat Serangan Jantung
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR : Pegawai Korea Utara hari ini mendakwa Kim Jong Nam mati akibat serangan jantung, bukannya disebabkan agen saraf VX, lapor...
KUALA LUMPUR: Pegawai Korea Utara hari ini mendakwa Kim Jong Nam mati akibat serangan jantung, bukannya disebabkan agen saraf VX, lapor Oriental Daily.
Jurucakap Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Ri Tong Il berkata, maklumat yang mereka perolehi menunjukkan Jong Nam menghidap penyakit jantung dan sering mendapatkan rawatan atau pemeriksaan di hospital.
“Dalam keadaan normal, beliau tidak boleh melancong tanpa membawa ubat sakit jantung bersamanya.
“Selepas bedah siasat dijalankan, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan penemuan ubat diabetes, sakit jantung dan tekanan darah tinggi, jadi mereka menyimpulkan keadaan kesihatan beliau tidak baik.
“Oleh itu, berdasarkan pelbagai petunjuk kukuh membuktikan beliau mati akibat sakit jantung,” katanya dipetik akhbar berbahasa Cina itu di depan Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 21 Februari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tidak ada bukti mangsa mati akibat serangan jantung.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, laporan analisis awal Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau agen saraf VX yang diharamkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), digunakan dalam pembunuhan Jong Nam.
Sementara itu, Ri yang juga bekas duta besar Korea Utara ke PBB turut mempersoalkan kenapa 2 tertuduh wanita yang dilaporkan menyapu agen saraf VX ke muka mangsa masih hidup.
“Mana mungkin? Kenapa mereka memilih melancarkan serangan di lapangan terbang yang mempunyai ribuan penumpang, tetapi tiada seorang mahupun mana-mana penumpang dicemari racun itu?
“Malah, kenapa beratus anggota polis dan perubatan yang mengiringi serta menghantar mayat mangsa ke hospital untuk dibedah siasat tidak terkesan akibat racun itu?”
Sehubungan itu, Ri mendesak Malaysia menghantar sampel agen saraf VX yang ditemui di luaran mata serta muka Jong Nam kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia untuk diuji dan menentukan siapa yang menghasilkan racun itu dan dibawa masuk ke Malaysia untuk diserahkan kepada 2 wanita itu.
Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu.
Beliau sepatutnya menaiki penerbangan ke Macau pada jam 10.30 pagi 13 Februari lalu, tetapi diserang 2 wanita yang menyapu sejenis bahan kimia di mukanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Semalam, seorang wanita Vietnam bernama Doan Thi Huong, 25, bersama Siti Aisyah, 29, dari Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Jong Nam, bulan lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka berdua bersama 4 lagi individu yang masih bebas didakwa dengan niat bersama membunuh Jong Nam yang juga abang kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top