pahangdaily pahangdaily Author
Title: Saiful Bahari: "Tahaluf Siyasi" PAS-PKR, Terserah Kepada Muktamar !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata, usul PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan Parti Kea...

KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata, usul PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), terserah kepada keputusan muktamar parti itu di Kota Sarang Semut, Kedah, akhir April dan 1 Mei nanti.
Beliau juga berkata, usul PAS putus hubungan dengan PKR Terengganu, juga akan diputuskan dalam muktamar berkenaan sebelum Majlis Syura Ulamak membuat keputusan muktamad selepas itu, lapor Buletin Online.
Katanya, PAS negeri itu memberi ruang secukupnya kepada ahli akar umbi mengemukakan usul dalam mesyuarat agung kawasan masing-masing bagi menyatakan hasrat mereka dalam perkara tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pengamal media di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semasa dewan itu berhenti rehat, hari ini.
Katanya, usul-usul itu timbul berikutan terdapat pemimpin PKR melalui status Twitternya, mengejek kepimpinan tertentu PAS dan menunjukkan semangat tidak setiakawan antara parti itu dengan PAS.
Katanya, sebanyak empat kawasan termasuk Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menerima sebulat suara usul berkait perkara tersebut kerana ahli akar umbi mempunyai hak untuk mengemukakan usul berkait hubungan antara parti dengan parti, bukan hubungan antara komponen anggota kerajaan seperti di Selangor.
Katanya, empat kawasan lain termasuk Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu, tidak mengemukakan usul serupa kerana isu berkaitan timbul kemudian manakala mesyuarat agung masing-masing selesai terlebih dahulu.
“Usul-usul berkenaan akan dibahaskan dalam Muktamar PAS di Kedah akhir April dan 1 Mei ini, saya percaya perwakilan bijak membuat keputusan, sebelum Majlis Syura Ulamak membuat keputusan selepas itu,” katanya.
Menurutnya, semua lapan kawasan parti itu telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, mengulangi pendirian bahawa PAS negeri tetap akan bertanding di semua kerusi parlimen dan DUN di negeri tersebut.
Kerusi berkenaan ialah lapan kerusi Parlimen dan 32 DUN. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top