pahangdaily pahangdaily Author
Title: Shahrir: Skandal Rasuah Di Johor, Tidak Akan Gugat Kedudukan BN
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JOHOR BAHRU:  Skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tid...

JOHOR BAHRU: Skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak akan menggugat imej dan kedudukan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata ini kerana siasatan SPRM berhubung skandal itu hanya melibatkan individu dan bukan membabitkan parti politik diwakili mereka.

Shahrir berkata siasatan itu sekali gus dapat membersihkan imej kerajaan daripada pelbagai tohmahan buruk mengenai integriti pentadbiran dan pemerintahan.

"Tindakan yang diambil hanya kepada mereka yang terlibat dengan perbuatan yang boleh menjejaskan imej dan integriti pentadbiran. Jadi, bila kita ambil tindakan itu, tidak bermakna bahawa imej kita (BN) pula terjejas.

"Kita lihat, ini tindakan daripada kerajaan sendiri untuk membersihkan diri kita (BN) dan kerajaan dari segi tuduhan dan sangkaan buruk mengenai integriti," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tebrau, di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sejauh mana skandal rasuah dan penyelewangan hartanah di negeri ini boleh menggugat pengundi BN.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu berkata semua pihak seharusnya menyokong tindakan berkenaan kerana pihak pemerintah berani dan bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap anggotanya.

Pada Jumaat, seorang anggota Exco kerajaan Johor dibenarkan direman selama seminggu sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Sebelum ini, SPRM menahan enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas Exco itu pada 24 Februari dan menahan seorang kontraktor lelaki pada 28 Februari setelah dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah.

Tiga daripada tujuh individu, iaitu dua pemaju dan seorang kontraktor, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 dan 7 Mac lepas, sementara empat yang lain dibebaskan dengan jaminan SPRM, dua hari lepas. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top