pahangdaily pahangdaily Author
Title: Tuan Ibrahim: "Presiden PPBM", Muhyiddin Yassin Sokong RUU 355
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong cadangan ...
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Muhyiddin dalam suatu mesyuarat bersama PAS menyatakan beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam isu yang berbangkit di Dewan Rakyat termasuk isu yang dikenali sebagai RUU 355 itu.
“Sebenarnya perkara kita bincang dan dia (Muhyiddin) secara prinsipnya bersetuju dengan RUU 355, tidak ada apa-apa masalah. Dalam perbincangan mesyuarat kami, kita sudah ada dan bicarakan isu ini.
“Apa-apa isu yang berbangkit di Dewan Rakyat, dia tidak ada masalah untuk sokong,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam dan dialog politik di Dewan Seri Iskandar, Setiawangsa malam tadi.
Sebelum ini, PAS dan PPBM mengadakan pertemuan dalam usaha mencari serta memperhalus rangka kerjasama persefahaman politik antara kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Tindakan PPBM itu sekali gus dilihat sebagai cubaan parti itu menjadi orang tengah dalam perbalahan yang wujud antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Amanah.
Muhyiddin pula merupakan satu-satunya ahli Parlimen yang mewakili PPBM.
Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata sehingga ke saat ini isu pembahagian kerusi dengan PPBM masih belum dibincangkan, malah dianggap sebagai belum tiba masanya lagi.
“Rundingan kerusi belum lagi. Cuma, jawatankuasa teknikal akan adakan perbincangan untuk lihat macam mana. Kita akan tengok, lagipun pilihan raya belum tahu bila lagi,” katanya.
RUU 355 yang dibawa presiden PAS itu bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan ia dijadualkan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Ia dibaca kali kedua di Dewan Rakyat tahun lalu, tetapi Hadi menangguhkannya dan berkata beliau mahu memastikan masyarakat faham yang pindaan itu tidak terpakai kepada bukan Islam.
RUU itu bertujuan meningkatkan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah tertentu, termasuk hukuman penjara kepada 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Pada masa ini, hukuman jenayah syariah terhad maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top