pahangdaily pahangdaily Author
Title: ‘Ah Long, Nenek Dan Ibu Mertua’ Bantu Adam Beli Banglo Mewah !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Datuk Adam Rosly yang didakwa hari ini kerana memberikan keterangan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (S...
KUALA LUMPUR: Datuk Adam Rosly yang didakwa hari ini kerana memberikan keterangan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pernah mengaku menerima wang pinjaman RM500,000 daripada 2 orang “along” bagi membeli banglonya di Ampang pada harga RM1.2 juta, menurut kertas pertuduhan.
Dua “ah long” berkenaan, menurut Adam, bernama “Leo” dan “Ben”.
Bagaimanapun, Adam kemudian meminda jumlah yang diberikan Leo, yang nama penuhnya Tan Hang Yuan, daripada RM400,000 kepada RM555,165.
Adam menyokong semua dakwaannya itu dengan memberikan bukti perbualan Whatsapp dengan ah long tersebut.
Adam ketika disiasat SPRM Februari lalu turut melampirkan dokumen perjanjian dengan neneknya, yang meninggal dunia pada Januari lalu.
Menurutnya, arwah neneknya meminjamkan kepadanya RM100,000, sementara mak mertuanya RM100,000.
Baki RM500,000 untuk membeli banglo itu pula, menurut Adam, datang daripada hasil jualan keretanya dan pendapatan hasil perniagaannya.
Semua pecahan kewangan yang diberikan Adam itu, menurut kertas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, adalah palsu.
Ia merupakan antara 6 pertuduhan ke atas Adam, yang didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Adam, 29, yang mengetuai Pemuda PKR Ampang, berdepan hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun.
RM60,000 sebulan
Satu lagi keterangan palsu yang diberikan Adam, menurut kertas pertuduhan yang dibaca FMT, ialah dakwaan beliau menerima elaun “tidak tetap” kira-kira RM60,000 sebulan sebagai pengarah syarikat Gegas Mentari Holding Sdn Bhd.
Carian syarikat mendapati aktiviti perniagaan Gegas Mentari tidak diperincikan secara spesifik. Ia termasuk perlombongan, pembinaan bangunan dan “perniagaan borong melibatkan pelbagai barangan”.
Menurut Adam, beliau dalam proses meletak jawatan daripada Gegas Mentari, untuk menubuhkan syarikat lain bersama isterinya “tetapi menjalankan perniagaan sama”.
Adam juga mendakwa beliau turut menerima keuntungan daripada “membantu kawan-kawan dengan memberi modal (melabur) dan mendapat keuntungan tetapi tidak tetap setiap bulan dan ianya ikut projek”.
Siasatan terhadap Adam dibuka Februari lepas, 3 bulan selepas pendedahan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.
November lepas, Jamal membawa beberapa wartawan menaiki helikopter untuk meninjau banglo mewah milik Adam di Kampung Melayu, Ampang, sambil mempersoalkan sumber “kekayaan luar biasa” pemimpin PKR itu.
Susulan itu, Ketua Bahagian Umno Ampang Datuk Ismail Kijo membuat laporan kepada SPRM.
Adam menafikan rumah itu berharga RM7 juta, dan mendakwa ia dijual kepadanya oleh Public Bank.
“Rumah ini asalnya rumah 2½ tingkat bango yang separuh siap. Rumah ini saya beli secara tunai dengan pihak bank kerana tidak boleh buat pinjaman. Rumah ini tidak ada CF dan kelulusan pelan rumah,” kata Adam dalam keterangannya kepada SPRM pada 10 Februari. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top