pahangdaily pahangdaily Author
Title: Clare: Sarawak Report 'Belum Ada' Notis Saman PAS Sampai Hari Ini !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Editor Sarawak Report belum menerima sebarang notis saman meskipun sudah lebih 3 bulan tarikh akhir bagi pihaknya memenuh...
PETALING JAYA: Editor Sarawak Report belum menerima sebarang notis saman meskipun sudah lebih 3 bulan tarikh akhir bagi pihaknya memenuhi tuntutan PAS berhubung laporan mendakwa pucuk pimpinan parti itu menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak, berakhir.
“Mereka mengugut untuk menyaman saya dalam masa seminggu jika saya tidak melakukan banyak perkara (yang dituntut) pada pertengahan Disember (lepas)… tetapi belum ada (sebarang tindakan),” kata Clare Rewcastle Brown kepada FMT menerusi e-mel.
Katanya, peguam bagi PAS di United Kingdom masih belum mengemukakan sebarang notis guaman terhadapnya ataupun portal itu berhubung ancaman mereka.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan sama ada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau partinya telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan Sarawak Report di UK sejak kata dua itu dikemukakan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula tidak respons kepada FMT walaupun mesej WhatsApp dihantar semalam.
Sebelum ini, Takiyuddin berkata, peguam partinya di United Kingdom telah menghantar surat tuntutan kepada Sarawak Report pada 13 Disember lepas.
Beliau berkata, surat yang mengandungi 3 tuntutan iaitu menggesa Sarawak Report menarik balik artikel bertarikh 6 Ogos 2016 dan mengeluarkan permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui oleh partinya.
Permintaan ketiga mahu Sarawak Report memberikan jaminan tidak akan menyiarkan tuduhan palsu pada masa-masa akan datang.
Tempoh 7 hari itu berakhir 20 Disember lepas.
Sarawak Report mendakwa RM90 juta telah dimasukkan ke dalam akaun pemimpin atasan PAS. Transaksi itu mendakwa ia salah satu usaha Najib untuk “menarik” kepimpinan PAS supaya menyokong Barisan Nasional dan Umno.
Dakwaan itu dikritik oleh pemimpin-pemimpin PAS, termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilaporkan berkata, PAS akan mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan itu yang berniat jahat mencemarkan reputasi parti itu dan dasar Islamnya.
Sementara itu, peguam S N Nair berkata, pihak yang menghantar notis lazimnya memperlihatkan keseriusan untuk menyaman jika perkara dituntut tidak dipenuhi.
Jika tidak, ia hanya kata dua kosong yang tidak menunjukkan keseriusan bahawa kemudaratan telah dilakukan akibat sesuatu laporan, kata beliau.
Tambah beliau, sesetengah peguam, bergantung kepada kerumitan kes dan faktor-faktor lain, biasanya memfailkan saman secepat mungkin.
Bagaimanapun jelas beliau, tindakan undang-undang tidak wajar mengambil masa yang lama kerana sengatan fitnah akan berkurangan dari semasa ke semasa. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top