pahangdaily pahangdaily Author
Title: Sila Pecat Shabudin, Jika Kerajaan Benar Mahu Lndungi Kanak-Kanak !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak perlu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya daripada parti it...
PETALING JAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak perlu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya daripada parti itu, jika beliau serius melindungi kanak-kanak daripada penjenayah seksual, kata ahli Parlimen Batu Kawan.
Kasthuri Patto dalam satu kenyataan berkata, Najib tidak sepatutnya mendiamkan diri dan melindungi “wakil rakyat tidak beradab ini”.
Wakil rakyat DAP itu mengulas kenyataan Shabudin di Dewan Rakyat semalam yang tidak salah untuk mangsa berkahwin dengan perogolnya dan mungkin lebih baik mangsa dikahwinkan dengan perogolnya supaya dia tidak melalui masa depan yang gelap.
“Mungkin perempuan itu akan berasa lebih selamat daripada ditinggalkan begitu sahaja,” kata Shabudin sambil menambah mereka boleh hidup dengan aman dan ini mungkin pengubat kepada masalah sosial.
Sejak itu, Shabudin dikecam pengguna media sosial. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan cadangan Shabudin sebagai “jijik”.
Kasthuri berkata: “Ironi dan sindiran terbesar di sini ialah dia berkata demikian ketika membahaskan usul Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching – mengenai Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 bertujuan melindungi mereka di bawah umur 18 tahun – untuk ‘criminalisation’ perkahwinan kanak-kanak yang akan dimasukkan dalam akta itu.”
Setiausaha Publisiti Wanita DAP itu berkata, Shabudin “gagal” memahami masalah sosial yang dilihatnya tiada kena-mengena dengan kebarangkalian mangsa rogol tidak dapat berkahwin, “tetapi merogol perbuatan keji yang selama-lamanya akan membayangi seseorang, apatah lagi kanak-kanak”.
“Ia membimbangkan untuk mengetahui seorang pemimpin, seorang bapa dan mungkin seorang datuk akan mengambil jalan keluar dengan membuat kenyataan itu. Saya ingin tanya YB Tasek Gelugor, adakah dia bersetuju mengahwinkan orang tersayangnya kepada perogol mereka?.
“Disebabkan dia membuat kenyataan itu dengan penuh semangat, maka dia juga perlu menjawab soalan ini dengan yakin.
“Bagaimana jika seorang wanita adalah mangsa rogol berkumpulan? Apa akan jadi? Adakah dia juga perlu berkahwin dengan mereka semua? Bagaimana jika seorang kanak-kanak lelaki yang dirogol? Adakah Shabudin Yahaya turut menyokong kanak-kanak lelaki berkahwin dengan perogolnya?”
Beliau memberi amaran cadangan Shabudin jika dilaksanakan, boleh membawa kepada perogol bersiri atau mereka yang berniat merogol, memaksa diri berkahwin dengan mangsa hanya untuk menutup jenayah mereka.
Kasthuri berkata, perogol dibenarkan mengahwini mangsa mereka tidak sepatutnya menjadi norma, khasnya apabila kes rogol “berleluasa”.
Beliau berkata: “Dua tahun lalu, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) melaporkan 31,685 kes rogol, 42,449 kes keganasan rumah tangga dan 24,939 kes melibatkan pencabulan kehormatan dari 2000 sehingga 2013.
“Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Yap Soo Huey dilaporkan berkata, purata 3,000 kes rogol dilaporkan di Malaysia setiap tahun dengan hanya 2 daripada 10 kes dilaporkan, dan berdasarkan jumlah itu, seorang gadis atau wanita dirogol di sesebuah tempat di negara ini setiap 35 minit.”
Kasthuri membidas Shabudin yang “bangga” dengan cadangan “kejinya” dan dengan itu “membantu perogol menghalalkan perbuatan seksual mereka yang tidak dibenarkan kepada mangsa”, bukannya menggesa hukuman lebih berat dijatuhkan kepada perogol.
“Perogol sepatutnya dikutuk dan bukannya diraikan. Pastinya bukan dalam bentuk perkahwinan.”
Kasthuri berkata, beliau menyokong gesaan Teo melarang perkahwinan kanak-kanak untuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top