pahangdaily pahangdaily Author
Title: Di Tuduh "Terima Wang" Genting, Husam "Ancam Saman" Zaharin !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR : Datuk Husam Musa hari ini menafikan dakwaan pernah menerima dana pilihan raya daripada Kumpulan Genting dan mengancam aka...
KUALA LUMPUR: Datuk Husam Musa hari ini menafikan dakwaan pernah menerima dana pilihan raya daripada Kumpulan Genting dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog, Zaharin Mohd Yasin.
Menyifatkan dakwaan Zaharin sebagai usaha mencalar imej dan maruahnya, Husam memberi jaminan beliau bukan seperti parti lamanya, PAS, dan akan mengambil tindakan saman selepas 7 hari daripada tarikh sidang media hari ini.
“Kata nak buat (saman) sejak Februari lalu, tetapi sehingga kini masih tidak dapat,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara di sini, merujuk kepada ancaman PAS selepas klip video beliau mendakwa parti lamanya menerima RM90 juta daripada Umno tular di media sosial.
Pada sidang media hari ini, Husam menunjukkan tangkap layar Facebook Zaharin 10 April lepas, yang “mengesahkan” Husam menerima duit hasil bukan perjudian daripada Kumpulan Genting, bagi pihak PAS, untuk pilihan raya.
Zaharin bagaimanapun tidak menyatakan dana tersebut untuk pilihan raya yang mana, cuma menambah pengasas Kumpulan Genting Tan Sri Lim Goh Tong terhutang budi kepada kerajaan Kelantan, dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta wakil syarikat berurusan dengan Husam selaku setiausaha politik kepada menteri besar.
Zaharin berkata demikian selepas penulis blog kontroversi Raja Petra Kamaruddin, yang menetap di luar negara, mendakwa Husam menerima wang daripada Kumpulan Genting dalam catatan 7 April lalu.
Raja Petra mendakwa Kumpulan Genting mahukan “kuda trojan” dalam PAS supaya perniagaan perjudiannya tidak diharamkan, sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum.
“Saya tidak pernah jumpa, tidak pernah menerima 1 sen dari Genting, sama ada sewaktu saya bersama PAS atau untuk diri saya,” kata Husam.
Sementara itu peguam Faiz Fadzil berkata anak guamnya dalam surat tuntutan yang diserahkan hari ini mahu Zaharin memohon maaf di Facebook.
“Sidang media ini akan menjadi suatu notis umum. Kalau permohonan maaf tidak dibuat, kita akan failkan suatu saman,” kata Faiz.
Mengenai dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada Umno, Husam berkata beliau dan Naib Presiden PKR Rafizi tidak berkongsi sumber maklumat yang sama.
“Saya tidak berjumpa atau berhubung dengan dia (Rafizi)…Kita kena jumpa dan bandingkan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap tuduhan Husam “sambungan rantaian fitnah” Sarawak Report, yang juga diancam dengan tindakan undang-undang sejak Disember tahun lepas.
Terdahulu, Rafizi dalam akuan bersumpah mendakwa bekas timbalan presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa pernah menerima dana berkait 1MDB, menurut seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan mengenai dakwaan salah guna dana syarikat milik kerajaan itu.
Rafizi juga mendakwa Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mengetahui perkara itu.
Nasharudin dan Khairuddin menafikan kandungan akuan bersumpah Rafizi.
Husam, ketika ditanya sama ada wang tersebut disalurkan ke akaun bank individu atau akaun parti, hanya menjawab:
“Saya akan kekalkan suspen, saya tidak mahu dilihat terlalu menyerang individu,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top