pahangdaily pahangdaily Author
Title: Dr Asri: Puisi Saya Kecam PM India 'Bukan Komuniti Hindu' Malaysia !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin hari ini berkata, “puisi pagi Jumaat” yang mencetuskan kontroversi dalam hubun...
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin hari ini berkata, “puisi pagi Jumaat” yang mencetuskan kontroversi dalam hubungan antara agama di negara ini sebenarnya tidak merujuk kepada komuniti Hindu tempatan.
Di sebalik kecaman di media sosial dan kritikan dari badan bukan kerajaan, termasuk laporan polis terhadapnya, Asri hari ini berkata, “puisi” tersebut sebaliknya menyerang kerajaan pimpinan Perdana Menteri India Narendra Modi.
“Puisi memperkatakan tentang kerajaan Modi di India yang membiarkan saban hari Muslim dibunuh dengan kejam hanya kerana memakan daging lembu,” kata Asri di Facebook.
“Bahkan suasana itu seakan sengaja diwujudkan oleh kerajaan beliau atas dasar kesucian lembu yang mereka percaya.
“Anda boleh lihat artikel dan video dalam internet yang begitu banyak tentang kekejaman mereka kerana ‘mempertuhankan lembu’ dalam ertikata mensucikannya.
“Bagi yang tidak mempertuhankan lembu di negara ini seperti yang sedang berlaku di India, harap jangan terasa. Puisi itu untuk suasana semasa di India.
“Saya percaya dalam negara kita yang rata-rata berpendidikan tinggi tidak mungkin akan menyembah haiwan seperti lembu ataupun mensucikannya. Apatah lagi sehingga sanggup membunuh orang lain kerananya.”
Asri semalam memuat naik beberapa baris di laman Facebooknya, menyelar apa yang dipanggil golongan “mempertuhankan lembu” kerana menentang seorang “pendakwah”.
Walaupun tidak menamakan pendakwah yang dimaksudkan, mufti Perlis itu sebelum ini mempertahankan penceramah kontroversi dari India, Zakir Naik, yang dikecam beberapa persatuan bukan Islam, termasuk Hindraf.
Secara kebetulan, pihak berkuasa India mahu penduduk tetap sejak 5 tahun lepas itu pulang ke tanah air untuk disoal siasat berhubung dakwaan pengubahan wang dan keganasan.
Zakir pada majlis anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia minggu lalu menegaskan enggan pulang atas alasan pihak berkuasa India akan menyeksa beliau.
Menjawab “puisi” Asri, Persatuan Hindu Sangam Malaysia berkata, seorang mufti tidak sepatutnya membuat sebarang kiasan mengenai agama tertentu jika tidak faham agama tersebut manakala bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim meminta ulama yang emosi tidak harus bercakap mengenai isu Zakir. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top