pahangdaily pahangdaily Author
Title: Ezam Failkan Saman, Mahu AS$3.7 Bilion Di Pulangkan Kepada 1MDB
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor memfailkan saman terhadap perdana menteri dan 13 individu yang pernah menjadi p...
KUALA LUMPUR: Bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor memfailkan saman terhadap perdana menteri dan 13 individu yang pernah menjadi pengarah dalam lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memulangkan sekurang-kurangnya AS$3.657 bilion (RM16.14 bilion) kepada dana kekayaan negara itu.
Ezam, kini presiden Parti Bebas Rasuah (PBR), mendakwa wang yang dipinjam 1MDB itu lenyap kerana individu terbabit memungkiri tugas fidusiari mereka.
Beliau berkata para pengarah berkenaan, yang memegang jawatan antara 2009 hingga tahun lepas, dinamakan sebagai defendan kerana mereka melenyapkan wang dan tidak mengambil langkah mendapatkan semula wang yang lenyap.
Beliau berkata kerajaan juga tidak mahu mengambil tindakan undang-undang kerana menteri kewangan juga adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengarah yang dinamakan adalah Mohd Irwan Serigar Abdullah, Kamal Mohd Ali, Norazman Ayob, Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ashvin Jethanand Valiram, Arul Kanda Kandasamy, Mohd Hazem Abd Rahman@Mohamed, Mohd Bakke Salleh, Azlan Mohd Zainol dan Tengku Rahimah Puteri Mahmud Shah.
Menurut laman sesawang 1MDB, Irwan Serigar, Kamal dan Norazman masih menjadi ahli lembaga pengarah.
Turut dinamakan dalam saman, yang difailkan di pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini oleh Tetuan Farez Jinnah, adalah 1MDB dan kerajaan Malaysia.
Ezam juga mahu pengarah terbabit membayar faedah 4% ke atas jumlah yang diputuskan penghakiman sehingga semua hutang dilangsaikan, bersama dengan kos dan relif yang lain.
Dalam kenyataan tuntutannya, Ezam berkata antara 2009 dan 2011, 8 pengarah memindahkan AS$1.03 bilion kepada Good Star Limited Sdn Bhd (GSL) untuk digunakan dalam usaha kerjasama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).
Beliau berkata pada 2012, mereka memindahkan AS$1.367 bilion kepada Aabar Investment PJS Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan di Kepulauan Virgin British (Aabar BVI).
Syarikat itu mempunyai nama yang hampir menyerupai Aabar Investment PJS, anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC), yang perlu dibayar wang itu.
Ezam berkata pada 2013, 7 pengarah membayar AS$1.26 bilion kepada Tanore Finance Corporation (TFC) untuk usaha kerjasama dengan Aabar untuk menubuhkan Abu Dhabi Malaysia Investment Company Ltd (ADMIC).
Akibatnya 1MDB dan kerajaan terjejas dan mengalami kerugian, katanya.
Ezam berkata beliau memfailkan saman sebagai rakyat dan pembayar cukai kerana beliau akan dibebani untuk membayar pinjaman yang diambil 1MDB.
“Ia demi kepentingan kedaulatan undang-undang tindakan dibawa terhadap defendan pertama (Najib) dan defendan berkenaan (pengarah) bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan oleh mereka kerana 1MDB dan kerajaan tidak akan mengambil tindakan seperti ini,” katanya berkata dalam kenyataan tuntutan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top