pahangdaily pahangdaily Author
Title: Jangan Buang Masa Untuk Lawan Najib Di Pekan Pada PRU-14 Nanti
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
Sekurang-kurangnya tiga orang sudah menyatakan minat dan kesediaan untuk menentang Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan dalam pilihanray...

Sekurang-kurangnya tiga orang sudah menyatakan minat dan kesediaan untuk menentang Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan dalam pilihanraya umum akan datang ini. Mereka ialah Ezam Mohd Nor yang menyatakan kesediaan untuk bertanding melalui Parti Bebas Rasuah yang bakal ditubuhkannya, Anina Saadudin, Ahli MPT Bersatu dan Abdul Rahman Mohd Nor, Ketua Bahagian Bersatu Pekan.

Di antara ketiga-tiga mereka, hanya Abdul Rahman merupakan orang tempatan Pekan. Beliau memang berasal dari Pekan, pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan dan kini mengetuai Bersatu di bahagian itu, manakala Ezam dari Selangor dan Anina pula dari Langkawi, Kedah.

Fokus utama Pakatan Harapan dalam PRU 14 ialah untuk menyingkirkan Najib dengan cara mengalahkan UMNO dan BN melalui peti undi. Dengan yang demikian, usaha untuk menumbangkan Najib di Pekan seharusnya menjadi pilihan yang kedua.

Najib bukan tidak boleh dikalahkan di Pekan, tambahan lagi beliau pernah menang cuma dengan 241 undi saja pada pilihanraya 1999 yang lalu.

Tetapi, sejak kemenangan tipis 1999 itu, beliau telah menambah ramai pengundi baru untuk mengundi di Pekan. Sejak itu, kemenangan Najib sentiasa agak selesa dengan terbaru pada pilihanraya 2013, beliau menang dengan majoriti 35,613 undi mengalahkan calon PKR, Mohd Fariz Musa.

Dengan yang demikian, tambahan lagi dengan amalan “cash is king” yang kian berleluasa dan Najib sendiri semakin mempunyai banyak wang sekarang ini, menumbangkannya di Pekan boleh dianggap hampir mustahil.

Oleh itu, untuk apa Ezam yang berasal dari Selangor dan Anina dari Langkawi, cuba cari nahas dengan menawarkan diri bertanding di Pekan?

Mampukah mereka mengalahkan Najib atau mereka bertanding sekadar ingin glamour serta publisiti semata-mata?

Bagi Ezam dan Anina, jika mereka masih menjiwai perjuangan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad yang ingin menumbangkan UMNO dan BN serta dengannya akan membuatkan Najib turut tersingkir, adalah lebih baik mereka menumpukan usaha secara nasional dan bergerak ke seluruh negara bersama-sama gabungan pembangkang bagi tujuan itu.

Jika ada rezeki dan keyakinan daripada Pakatan Harapan, Ezam dan Anina sebenarnya lebih sesuai bertanding di tempat lain, seperti di Selangor atau Kedah misalnya. Jika Pakatan Harapan menang, mungkin ada jawatan tertentu menunggu mereka.

Bagi kerusi Pekan, jika Pakatan Harapan memutuskan mahu menyerahkan kerusi itu kepada Bersatu, Abdul Rahman dengan kedudukannya sebagai anak jati Pekan dan pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan, adalah calon yang sesuai dan munasabah untuk berlawan dengan Najib.

Setidak-tidaknya Abdul Rahman tentu ada saudara mara dan kawan-kawan serta lebih mengetahui selok-belok kampung, jalan berlubang dan rumah-rumah yang uzur di sekitar Pekan itu berbanding Ezam dan Anina sebagai modal untuk berkempen.

Meskipun secara realistiknya harapan Abdul Rahman tidaklah mudah untuk menewaskan Najib, tetapi beliau dikira masih mampu untuk memberi cabaran yang sewajarnya jika diberi kepercayaan untuk bertanding. Kata orang, kalah dalam tangan, menang belum tentu.

Sepertimana disebut pada awal tadi, PRU 14 ini matlamatnya ialah untuk menyingkirkan Najib dengan cara menumbangkan UMNO dan BN. Lantaran itu, fokus jangan sesekali berubah.

Berbanding mengalahkan Najib di Pekan, menumbangkan UMNO serta BN adalah lebih mudah dan munasabah. Di tambah dengan sekian banyak isu dalam negara serta kenaikan kos sara hidup yang berterusan mencengkam rakyat, mengajak rakyat berubah memilih kerajaan baru tidaklah sesukar meminta pengundi Pekan agar tidak memilih Najib.

Lagi pun, dengan tumbangnya UMNO dan BN, jika Najib menang sekali pun di Pekan, ia tetap tidak memberi sebarang makna lagi kepadanya.

Bagi Pakatan Harapan, mereka tidak perlu terlalu memberi fokus di Pekan sehingga hilang tumpuan kepada kawasan-kawasan lain. Juga tidak perlu melayan sangat saranan golongan akademik agar calon yang setaraf Tun Mahathir atau Anwar diletakkan oleh Pakatan Harapan untuk bersaing dengan Najib di Pekan.

Calon Pakatan Harapan yang berwibawa dan boleh menjadi Perdana Menteri dan Menteri, seharusnya diberi kerusi lain yang boleh menang supaya selepas tumbangnya UMNO dan BN, mereka boleh memegang jawatan dalam kerajaan demi menyelamatkan negara ini.

Memang seronok dapat melihat Najib kalah di Pekan, tetapi jauh lebih seronok jika UMNO dan BN dapat ditumbangkan. Keseronokan Najib kalah di Pekan, bagaimanapun boleh hilang seronoknya jika akhirnya UMNO dan BN terus berkuasa lagi.

Lantaran itu, jangan sampai matlamat utama yang ingin dicapai tidak kesampaian.#sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top