pahangdaily pahangdaily Author
Title: Jangan Permainkan Islam, Amaran Hadi Kepada 'Pengkritik' RUU 355 !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan rakyat bukan Islam tidak ada kena-mengena dengan undang-undang syariah,...
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan rakyat bukan Islam tidak ada kena-mengena dengan undang-undang syariah, ketika mencadangkan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden PAS dan ahli Parlimen Marang itu berkata pesalah bukan Islam tidak pernah dalam sejarah 50 tahun pelaksanaan syariah di negara ini dibicarakan di bawah mahkamah syariah
“Saya bukannya hendak wujudkan undang-undang baru tetapi untuk meminda berkaitan mahkamah syariah yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Belum ada bukan Islam yang terguna pakai dalam akta ini. Saya mohon Yang Berhormat bukan Islam, kerana tidak ada bukan Islam yang akan disabitkan,” katanya sewaktu membentangkan rang undang-undang persendirian itu.
Perang mulut tercetus seketika apabila Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) bangun membantah keputusan Speaker memberi laluan kepada Hadi. Beberapa wakil rakyat BN termasuk Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dilihat mengherdik Kit Siang supaya tidak meneruskan bantahannya.
‘Hukuman tak setimpal kesalahan’
RUU itu bertujuan meningkatkan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah tertentu, daripada maksima 3 tahun penjara kepada 30 tahun, daripada denda maksima RM5,000 kepada RM100,000, dan daripada 6 kepada 100 sebatan.
Hadi turut menyelar ahli Parlimen sama ada Islam atau bukan Islam yang membantah RUU tersebut, sambil berkata penentangan itu merupakan petanda buruk terhadap budaya “politik perpaduan matang” di negara ini.
“Kepada bukan Islam, jangan permain-mainkan agama Islam yang menjadi agama persekutuan,” katanya.
Hadi merujuk kepada apa yang didakwanya hukuman tidak setimpal untuk kesalahan syariah, berbanding dengan beberapa kesalahan kecil di bawah mahkamah sivil.
“Mahkamah sivil memperuntukkan denda RM50,000 jika didapati bersalah memiliki burung-burung tertentu.
“Tetapi jika mengajar ajaran sesat dan didapati bersalah, hanya denda maksima RM5,000 sahaja. Apakah demikian rendah nilai akidah Muslim?” soalnya.
Memberikan contoh, Hadi berkata mahkamah syariah pada masa ini dilihat mengambil ringan kesalahan lelaki yang tidak memberikan nafkhah kepada bekas isteri, berbanding dengan hukuman mahkamah sivil yang lebih berat.
“Jika dibandingkan dengan mahkamah sivil, denda berpuluh ribu bagi memastikan hak wanita terjaga. Islam adalah agama rasmi persekutuan, tetapi penganut agama Islam dalam negara tidak dapat menikmati keadilan menggunakan agama mereka,” katanya.
Bukan menyeksa
Hadi turut mempersoalkan dakwaan hukuman yang dicadangkannya lebih menjurus kepada penyeksaan, sebaliknya berkata ia bertujuan mendidik, seperti yang boleh dilihat dalam kaedah sebatan di bawah syariah.
“Sebatan dalam Islam berbeza dengan sebatan sivil. Ia mesti dilakukan dengan alat sebat yang bersaiz sederhana. Tidak boleh angkat terlalu tinggi, tidak boleh sehingga koyakkan kulit, ia bunyinya 100 sebatan tetapi berbeza dengan sebatan sivil,” katanya.
Minggu lalu, mesyuarat tertinggi Barisan Nasional memutuskan untuk tidak mengambil alih RUU Hadi.
RUU itu pertama kali dibentangkan pada Mei 2016, dan pada November lalu, Hadi meminda usul tersebut dengan mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda kepada maksima RM100,000 dan hukuman sebat kepada maksima 100 kali.
Selain ahli Parlimen PAS, RUU itu menerima sokongan terbuka beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang hadir bulan lalu pada perhimpunan dianjurkan PAS bagi menyatakan sokongan terhadap usul itu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top