pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kelantan Jawab Sindiran Mat Sabu Mengenai Tikus Dan Kucing Hidup Harmoni
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Kelantan menolak dakwaan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang memberi gambaran negeri di bawah PAS itu gaga...
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Kelantan menolak dakwaan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang memberi gambaran negeri di bawah PAS itu gagal menjaga kebersihan seperti mana dituntut Islam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Dr Abdul Fattah Mahmood, mengulas sindiran Mohamad, atau Mat Sabu, dengan mengatakan tikus dan kucing di bandar Kota Bharu kini “hidup harmoni” kerana kedua-duanya sama besar.
“Bila kali terakhir Mat Sabu jumpa dengan tikus di Kota Bharu dan dekat mana dia jumpa tikus tersebut?” soal Fattah ketika dihubungi.
“Mungkin dia jumpa dekat rumah dia, atau dia mengigau. Tak perlu dia buat sindiran sebegitu rupa.”
Dalam temuramah bersama FMT baru-baru ini, Mat Sabu, yang pernah menjadi ahli Parlimen 2 penggal di Kelantan dari 1990 hingga 1999, berkata tahap kebersihan yang rendah di Kelantan adalah simptomatik kepada pengabaian nilai asas Islam oleh mereka yang mendakwa mahu melaksanakan Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara Islam lain.
“Jika ke Kaherah, anda boleh hidu bau hancing di jalan sekitar Universiti Al-Azhar. Jadi apa gunanya menghasilkan ribuan agamawan setiap tahun? Kebersihan dan alam sekitar amat diutamakan dalam Islam, tetapi tidak diamalkan,” katanya.
Fattah bagaimanapun menafikan tahap kebersihan Kelantan seteruk yang digambarkan Mat Sabu, sebaliknya berkata keadaan sekeliling bandar Kota Bharu sudah banyak berubah, malah diakui pelancong yang datang ke negeri itu.
“Contohnya di kawasan pasar Siti Khatijah sekarang ini, kebersihan dapat ditingkatkan dan kita juga teleh menubuhkan unit khas di mana semua aduan kita terima melibatkan tahap kebersihan kita akan selesaikan dalam masa 2 jam atau setengah hari,” katanya.
Menurut Fattah, pelancong ke Kelantan memuji tahap kebersihan di negeri itu.
“Jadi bila Mat Sabu cakap macam ini, adakah dia sebut daripada hatinya yang ikhlas atau sebab politik?” soalnya, sambil menyifatkan Mat Sabu ketandusan isu untuk berpolitik.
Sementara itu, Fattah berkata Kelantan tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan persekutuan dalam soal mengurus kebersihan.
Menurutnya, kerajaan negeri menggunakan inisiatif sendiri dengan melantik syarikat swasta melakukan kerja pembersihan melibatkan kawasan tertentu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top