pahangdaily pahangdaily Author
Title: Keluarga Mahu Saman, Tindakan Amanah Anjur Seminar Nik Aziz !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: PAS menganggap sebuah seminar mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai “jenayah intelek”, sementara anggota keluarga...
PETALING JAYA: PAS menganggap sebuah seminar mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai “jenayah intelek”, sementara anggota keluarganya kini menimbang mahu menyaman Amanah yang menganjurkannya semalam.
Dewan Ulama PAS berkata seminar tersebut jelas menunjukkan pemimpin Amanah memanipulasikan pemikiran seorang yang sudah meninggal dunia.
“Tok Guru (Nik Aziz) terus istiqamah bersama PAS sehingga ke akhir hayatnya. Tok guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar daripada PAS. Itu adalah fakta semasa hayat beliau.
“Setiap orang berhak mengkaji pemikiran sesiapapun termasuk pemikiran seorang tokoh yang telah meninggal dunia, tetapi kita tiada hak menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Khairuddin Aman Razali.
Sementara itu, beberapa ahli keluarga Nik Aziz berkata mereka tidak merestui Amanah menggunakan nama mursyidul am PAS itu yang meninggal dunia pada Februari 2015.
Nik Din Nik Mat, yang merupakan adik Nik Aziz, turut mempersoalkan mengapa Amanah tidak pula menggunakan nama pemimpin lain yang kini anak mereka sebahagian daripada parti serpihan PAS itu.
“Kenapa tak guna nama bapa bekas pemimpin PAS yang anaknya kini berada dalam Amanah seperti (bekas presiden PAS) Datuk Fadzil Noor… atau Yusof Rawa, bapa kepada Datuk Mujahid Yusof Rawa, naib presiden Amanah. Kenapa tak guna nama itu?” soalnya ketika dihubungi FMT.
“Kita keluarga sebulat suara tidak halal Amanah guna nama Tok Guru dan sampai bila-bila kita tak izin, tapi kita dah larang, mereka nak buat juga,” katanya.
Sebelum ini, anak Nik Aziz, Nik Adli, membuat laporan polis mewakili keluarganya terhadap Amanah.
Katanya, peguam sedang meneliti secara terperinci ucapan dan kenyataan dalam seminar itu.
“Jika terdapat apa-apa tuduhan palsu atau kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Tok Guru, maka kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang undang bagi menjaga kesucian dan nama baik almarhum ayahanda kami,” katanya.
Abang Nik Adli, Nik Mohamad Abduh yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, berkata keluarganya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Amanah jika nama bapanya terus digunakan.
Jaja nama
Nik Din berkata tindakan Amanah “menjaja” nama Nik Aziz bertujuan mencari populariti kerana parti itu menyedari tidak kuat berjuang bersendiri.
“Walaupun mereka jaja nama Tok Guru dan kalau Tok Guru hidup, dia pun tak sokong Amanah.
“Mereka tahu parti mereka lemah dan tujuan seminar itu diadakan untuk menarik pengaruh,” katanya.
Amanah ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang mahu meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR di bawah Pakatan Rakyat, gabungan yang dimansuhkan selepas perkelahian PAS dan DAP mengenai pelaksanaan syariah.
Pemimpin Amanah kerap mengatakan tindak tanduk PAS selepas kematian Nik Aziz dilihat semakin mesra Umno.
Hujung minggu lalu, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa, ketika berucap pada Seminar Pemikiran Nik Aziz di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, berkata sikap mesra PAS dengan Umno kini jelas berbeza dengan parti Islam pada era Nik Aziz.
“Kematian Nik Aziz bukan sahaja kematian dirinya yang bernama Nik Aziz, tetapi permulaan era baru hala tuju PAS dan penghakisan pendekatan dan pemikiran politik Nik Aziz dari PAS,” kata Husam yang juga bekas setiausaha sulit Nik Aziz.
Seminar tersebut turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dari PKR. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top