pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mahkamah Tinggi Menangguhkan Kes Siti Aishah Miliki Buku ‘Militan’ 1
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan Siti Noor Aishah Atam yang didakwa memiliki 12 buku cenderung kepada...
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan Siti Noor Aishah Atam yang didakwa memiliki 12 buku cenderung kepada gerakan militan IS.
Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah berkata, kes Aishah yang ditahan bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) ditangguhkan sehingga 18 April ini untuk sesi hujah.
Sebelum itu, pendakwa raya, Mohd Mustaffa P Kunyalam mendedahkan kepada mahkamah satu laporan polis dipercayai dilakukan ayah Aishah, Atam Jusoh.
Laporan yang dibuat di Balai Polis Dungun pada 2014 itu menyatakan Aishah berniat membunuh diri.
Bagaimanapun, barisan peguam Aishah, Mohd Kamaruzaman Abd Wahab berjaya menimbulkan keraguan dengan menyatakan laporan polis itu tidak ditandatangani Atam.
Atas arahan hakim, seorang anggota polis berpangkat koperal yang menulis laporan polis itu dipanggil sebagai saksi.
Saksi terbabit yang bertugas di Balai Polis Dungun sejak Disember 2006 berkata, seorang lelaki dipercayai Atam muncul di balai polis itu kira-kira 10 malam, 18 Februari 2014.
“Prosedur menerima laporan polis ialah saya akan meminta kad pengenalan pengadu, lihat gambar di kad pengenalan itu sama atau tidak dengan wajah pengadu.
“Saya terima laporan pengadu, saya akan taip aduan dalam sistem laporan polis. Selepas habis taip, saya akan suruh pengadu membaca semula laporan polis berkenaan sebelum mencetaknya,” katanya.
Mahkamah turut memanggil ayah Aishah ke dalam kamar bagi sesi pengecaman dan anggota polis berkenaan mengakui individu membuat laporan polis itu ialah Atam.
Hakim berpuas hati dengan bukti ditunjukkan anggota polis terbabit yang turut membawa salinan asal laporan polis dan buku catatan balai.
Aishah yang berbaju kurung, tetap ceria walaupun tangannya bergari dan duduk di kandang tertuduh tanpa sebarang soalan diajukan pendakwa raya dan peguam bela.
Aishah pertama kali ditahan pada Mac 2016, di bawah Sosma kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan kumpulan militan.
Antara judul buku itu adalah “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.
Aishah mengaku tidak bersalah memiliki buku berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada April 2016 dan mendakwa buku itu adalah untuk kajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya (UM) pada 2012 hingga 2013.
Selepas ditahan pada Mac 2016, Aishah dibuang UM kerana gagal hadir ke kelas. Ketika itu, beliau mengambil jurusan dalam bidang Usuluddin.
Pada September lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya.
Bagaimanapun, Aishah ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau Poca selama 60 hari, pada hari sama dia dibebaskan.
Sebaik dibebaskan, dia diletakkan di bawah tahanan rumah dengan dipasang peranti pengawasan elektronik bagi memastikan dia tidak meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.
Aishah ditahan semula di bawah Sosma dan dimasukkan ke Penjara Kajang sejak 29 Mac lalu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top